Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Kemapanan PMKS diutamakan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Tidak dapat dinafikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memainkan peranan penting dalam ekonomi banyak negara di seluruh dunia.

    PMKS merupakan enjin bagi penjanaan pekerjaan, perangsang kepada persaingan, permintaan domestik, peneraju bagi kemapanan dan pertumbuhan ekonomi keseluruhannya.

    PMKS mewakili kira-kira 90 peratus perniagaan dan menyediakan lebih 50 peratus pekerjaan di serata dunia.

    Namun begitu, persekitaran perniagaan melalui tempoh yang amat mencabar beberapa tahun kebelakangan ini dengan kemunculan varian koronavirus baharu dan sekatan yang diperkenalkan telah banyak mengehadkan aktiviti ekonomi yang memberi kejutan serta penurunan pendapatan yang signifikan kepada PMKS, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucaptama penutup di Finale Forum SME360 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Beliau berkata respons ekonomi kerajaan kepada pandemik itu termasuklah melaksanakan pelbagai langkah bermatlamat untuk membantu perniagaan kecil mengharungi badai berkenaan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyampaikan ucaptama penutup semasa Finale Forum SME360 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
    Antara yang hadir pada acara Finale Forum SME360 itu.

    Pendigitalan dan jualan dalam talian telah membantu menguatkan pendapatan sesetengah PMKS tetapi bukan semua perniagaan termasuk PMKS bertahan semasa pandemik itu, ulasnya lagi.

    Di Negara Brunei Darussalam, 97.3 peratus perusahaan Brunei terdiri daripada PMKS yang memainkan peranan yang semakin penting dengan negara bergerak ke arah mempelbagaikan ekonomi.

    Di bawah Pelan Tindakan Ekonomi Brunei, jelas Yang Berhormat Dato, ke-semua aspirasi adalah menjurus kepada kemajuan dan pembangunan PMKS.

    Di bawah aspirasi itu, tambahnya, kita inginkan perniagaan-perniagaan kita untuk dapat kekal, tumbuh dan bersaing melalui penerokaan peluang dan pasaran baharu dengan memanfaatkan inovasi serta teknologi.

    Kerajaan Brunei melalui Darussalam Enterprise (DARe) menyediakan program sokongan dan infrastruktur relevan kepada PMKS kita untuk membangun.

    Matlamat kita adalah bagi PMKS supaya dapat meningkatkan produktiviti, daya saing dan menembusi pasaran antarabangsa dengan menemui peluang dan aktiviti ekonomi baharu terutamanya dalam lima sektor keutamaan iaitu hiliran minyak dan gas, makanan, pelancongan dan perkhidmatan teknologi dan infokomunikasi (ICT), tambahnya.

    Yang Berhormat Dato menekankan, walaupun 2021 diharapkan sebagai tahun pemulihan bagi ekonomi Brunei, malangnya Brunei telah dilanda gelombang kedua pandemik pada awal Ogos 2021.

    Di serata dunia, pandemik itu telah mendedahkan banyak kelemahan PMKS dan perniagaan tempatan kita juga berhadapan dengan situasi yang serupa, kata Yang Berhormat Dato.

    Kaji selidik yang dikendalikan oleh DARe pada Ogos 2021, mendedahkan banyak PMKS mengalami isu kemapanan perniagaan yang ketara dengan lebih separuh firma yang dikaji selidik mengunjurkan kehilangan pendapatan sekurang-kurangnya 50 peratus dengan 35 peratus lagi menjangkakan kehilangan pendapatan lebih 80 peratus.

    Tambahan, kaji selidik juga mendapati hampir 70 peratus firma mempunyai aliran tunai bernilai kurang daripada tiga bulan.

    Sebagai respons kepada semua itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew berkata kerajaan telah memperkenalkan pelbagai langkah-langkah bantuan dan stimulus ekonomi bertujuan mengatasi kesan pandemik kepada perniagaan dan rumah tangga dengan tumpuan melindungi pekerjaan bagi warga tempatan dalam sektor swasta dan meneruskan aktiviti ekonomi.

    Pada masa ini, dengan lebih 95 peratus penduduk negara telah menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksinasi COVID, lebih banyak aktiviti ekonomi telah dibenarkan untuk bermula secara beransur-ansur dengan keadaan pandemik tempatan dapat dikawal.

    Kita juga menyaksikan senario yang serupa di peringkat global dan dengan penyambungan semula perjalanan udara antarabangsa secara beransur-ansur dan penarikan balik sekatan termasuk sempadan darat, perniagaan mula memikirkan mengenai pemulihan khususnya pemulihan hijau yang menumpukan kepada membina kembali dengan lebih baik dan bersih untuk menyumbang kepada agenda kemampanan global, kata Yang Berhormat Dato.

    Namun begitu, perniagaan kecil mungkin beranggapan bagaimana mereka boleh menyumbang kepada agenda berkenaan ketika COVID telah menyebabkan banyak PMKS mengalami kerugian dan hanya terdapat sedikit insentif untuk mereka menjadi hijau.

    “Pemikiran itu boleh dan harus berubah. Tanpa mengira saiz perniagaan awda, momentum ke arah kemapanan semakin mengumpul rentak,” ujarnya.

    PMKS memainkan peranan yang penting dalam melindungi alam sekitar dan dengan lebih banyak perniagaan kecil menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan perniagaan yang lebih besar, komitmen kepada perniagaan mampan, boleh memberikan sumbangan positif kepada rantaian bekalan mereka dengan mengurangkan jejak karbon keseluruhan mereka.

    Yang Berhormat Dato menekankan lagi, menjadi lebih mampan boleh membantu membezakan perniagaan mereka, menjana nilai dan reputasi jenama serta muhibah dengan keutamaan pengguna pada masa ini, telah beralih sebagai respons kepada krisis kesihatan global dan permintaan bagi perniagaan untuk menjadi lebih mementingkan alam sekitar semakin mendapat perhatian.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...