Kemarau paksa petani tinggalkan tanah

MOSUL, IRAQ – Petani gandum Iraq, Khamis Ahmad Abbas kehilangan segala-segalanya apabila berjuang berdepan kemarau memaksa dia meninggalkan tanahnya, menyebabkan dia menganggur.

Pakar telah memberi amaran mengenai rekod hujan rendah, ditambah lagi dengan perubahan iklim, mengancam kemelut sosial dan ekonomi di Iraq yang dilanda perang.

“Menanam gandum dan barli adalah satu pertaruhan. Semuanya bergantung pada hujan,” kata seorang bapa kepada sembilan anak berusia 42 tahun itu.

Tidak dapat menampung kehidupan, Abbas meninggalkan tanahnya di dataran Nineveh, timur laut Mosul, sebahagian daripada apa yang dipanggil Bulan Sabit Subur tempat pertanian dimulakan 12,000 tahun yang lalu.

Dengan suhu yang meningkat melebihi 50 darjah Celsius dan hujan yang sedikit, ladang Abbas cepat kering.

Gambar menunjukkan traktor membajak sebidang tanah pertanian di pinggir bandar Tel Keppe. – AFP

Seorang petani memeriksa tanah yang kering akibat kemarau di atas sebidang tanah pertanian. – AFP

Tiga bulan lalu, dia mengarahkan keluarganya untuk mengemas barangan mereka – dua isteri dan sembilan anak – dan berpindah ke Mosul.

“Sekarang saya menganggur,” beritahunya kepada AFP, sambil meluangkan masa di sebuah kedai kopi di bandar kedua Iraq.

Pernah menjadi pusat pemerintah ‘Khalifah’ Kumpulan IS, Mosul masih dalam proses pembinaan semula selepas pertempuran dahsyat 2017 yang menggulingkan pemberontak.

“Kadang-kadang saya mendapat pekerjaan kecil, hanya cukup untuk menyara keluarga saya,”kata Abbas, yang merindui kisah lama ketika dia menuai gandum dan barli seperti bapa dan datuknya sebelum ini.

Nasibnya dikongsi oleh ramai petani di dataran Nineveh.

Menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), 447 keluarga yang telah dipaksa untuk meninggalkan tanah mereka di Nineveh oleh IS dan kemudian kembali ke sana selepas pemberontak dikalahkan dan terpaksa berpindah semula antara Jun dan Julai tahun ini kerana musim kemarau.

“Hampir semua, jika tidak semua, keluarga itu dipindahkan kerana ketidakupayaan untuk memberi makan kepada lembu mereka,” kata IOM.

Selama berabad-abad, dataran Nineveh merupakan kawasan yang paling subur untuk Iraq, dengan 6,000 kilometer persegi tanah pertanian, kata jurucakap kementerian pertanian, Hamid al-Nayef.

Tetapi tahun ini, wilayah Nineveh telah menjadi kawasan ‘paling terjejas’ Iraq oleh kemarau dan suhu yang sangat tinggi.

Pada 2020, 927,000 tan gandum dituai di Nineveh, menjadikannya wilayah “yang mencukupi”, kata Abdelwahab al-Jarjiri, yang mengetuai pihak berkuasa bijirin tempatan.

Pengeluaran tahun ini merosot kepada 89,000 tan akibat kemarau.

Kesan akibat kekurangan turunan hujan telah diburukkan lagi dengan kejatuhan paras air di sungai Tigris dan Euphrates akibat pembinaan empangan di negara jiran Turki dan Iran, kata Samah Hadid dari Majlis Pelarian Norway (NRC).

“Iraq sedang menghadapi kemarau yang paling teruk pada zaman moden. Ini disebabkan rekod paras hujan yang rendah, pengurangan aliran air dari jirannya – yang kebanyakannya melanda sungai Euphrates dan Tigris – dan tidak disyaki lagi perubahan iklim telah menyumbang kepada krisis ini,” katanya.

“Jauh daripada menjadi masalah pada masa hadapan, perubahan iklim sudah pun memberikan kesan di rantau ini dan kami melihat ini dengan jelas di beberapa bahagian di Iraq.”

Bulan ini, sebuah empangan berhampiran bandar utara Zawita kering sepenuhnya buat kali pertama sejak pembinaannya pada 2009, kata ketua pihak berkuasa pengairan tempatan, Hega Abdelwahid.

Empangan itu, yang dahulunya mengandungi sehingga 50,000 meter padu air, sumbernya dari salji yang cair tetapi hujan sangat sedikit pada tahun ini, kata Abdelwahid dan yang tinggal hanyalah tanah retak.

Keadaan kemarau yang teruk menyebabkan banyak keluarga petani terpaksa meninggalkan tanah mereka dan mencari rezeki di kawasan bandar.

Akram Yassin, 28, adalah salah seorang yang mempertimbangkan langkah sedemikian.

Dia telah menjual sebahagian daripada 500 ekor kambing biri-birinya dan beberapa tanah hanya “untuk terus hidup”, katanya.

“Saya mungkin perlu menukar kerjaya, kerugian kewangan saya lebih banyak daripada keuntungan saya,” tambahnya.

Pada Oktober, agensi PBB, termasuk Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), menggesa ‘tindakan segera’ untuk mengelak bencana di Iraq.

Sebelum itu pada bulan Ogos, 13 organisasi bantuan, termasuk NRC, memberi amaran bahawa tujuh juta orang di Iraq berisiko kehilangan akses kepada air, memaksa lebih ramai keluar daripada rumah mereka.

Namun penghijrahan ke pusat bandar seperti Mosul, Kirkuk dan Basra boleh mencetuskan ‘ketidakstabilan’ kerana mereka kurang bersedia untuk kemasukan sedemikian, kata Roger Guiu, pengarah pusat penyelidikan siasatan sosial yang berpangkalan di Iraq.

Guiu berkata Mosul telah ditinggalkan dalam runtuhan oleh pertempuran selama berbulan-bulan untuk menggulingkan IS dan ‘pembinaan semula sangat perlahan’.

Jalan raya dan pembetung di bandar itu dibina semula tetapi dalam sektor kesihatan hanya 30 hingga 40 peratus perkhidmatan telah dipulihkan, kata pengawas daerah. – AFP