Saturday, November 9, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemarau: Penduduk Sepanyol dibelenggu krisis air minuman

    GUALBA — Dengan membawa botol plastik di tangan, Joan Torrent berjalan ke dalam hutan untuk mencari air minuman. Dia mengisi botol tersebut di mata air semula jadi dan kemudian membawa pulang ke rumahnya di Gualba, sebuah kampung yang indah berhampiran Barcelona yang seperti kebanyakan bandar lain di Sepanyol sedang menghadapi kemarau paling buruk dalam sejarah.

    Bagi Torrent, berjalan beberapa kali seminggu untuk mendapatkan air dengan botol lapan liter ini merupakan satu masalah kecil, tetapi ia mungkin akan menjadi lebih biasa apabila Sepanyol dan seluruh Mediterranean menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.

    “Gualba suatu ketika dahulu penuh dengan mata air. Sekarang saya rasa ini satu-satunya yang tinggal,” kata Torrent, seorang pesara berusia 64 tahun, ketika berjalan menuju ke air pancut yang disambungkan ke mata air tersebut. “Saya rasa kita tidak sedar tentang apa yang menanti kita semua. Orang ramai tidak mahu mendengar tentang kekurangan air.”

    Pegawai di wilayah timur laut Sepanyol, Catalonia, telah mengisytiharkan darurat kemarau pada awal Julai lalu, dengan takungan yang menyediakan air kepada 6 juta orang, termasuk penduduk Barcelona, berada di bawah 16 peratus kapasitinya, satu tahap paling rendah dalam sejarah.

    Darurat itu, yang berkuat kuasa pada 5 Julai, mengehadkan jumlah air harian yang dibenarkan untuk kegunaan kediaman dan perbandaran kepada 200 liter setiap orang.

    Torrent mengisi botol plastik di mata air semula jadi di Gualba, kira-kira 50km di barat laut Barcelona, ​​Sepanyol, pada 31 Januari 2024. – AP
    Kemarau bukan sahaja melanda Sepanyol. Gambar bertarikh 2 Ogos ini menunjukkan bot tersadai di tebing Sungai Acre, sumber air utama untuk bandar Rio Branco, yang menghadapi kekurangan air di tengah-tengah kemarau di negeri Acre, Brazil. – AP
    Torrent berjalan pulang ke rumahnya selepas mengisi botol plastik di mata air semula jadi di Gualba, kira-kira 50km di barat laut Barcelona, ​​Sepanyol, pada 31 Januari 2024. – AP
    Pemandangan kolam takungan La Baells, yang berada pada tahap 21 peratus daripada kapasitinya, kelihatan di utara Barcelona, Sepanyol, pada 23 Januari. – AP

    Agensi air Catalonia mengatakan bahawa purata penduduk biasanya menggunakan 116 liter air sehari di rumah.

    “Kita memasuki realiti iklim baharu,” kata presiden wilayah Catalonia, Pere Aragones, ketika mengumumkan darurat tersebut. “Kemungkinan besar kita akan melihat lebih banyak kemarau yang akan menjadi lebih teruk dan lebih kerap.”

    Namun, Gualba dan bandar-bandar kecil lain di seluruh kawasan pedalaman Catalonia telah berada dalam keadaan krisis selama berbulan-bulan. Jadi, sementara penduduk Barcelona belum merasakan impak kemarau selain daripada tidak dapat mengisi kolam renang persendirian dan mencuci kereta, ribuan orang yang tinggal di komuniti kecil yang bergantung kepada telaga yang kini kering mengalami kesukaran untuk mendapatkan air yang sesuai untuk diminum.

    Nama Gualba, menurut cerita tempatan, bermaksud ‘air putih’ – merujuk kepada aliran air dari Gunung Montseny yang menghadap kampung tersebut. Kampung yang mempunyai kira-kira 1,500 penduduk ini telah kehabisan air minum sejak Disember, apabila takungan tempatan menjadi terlalu rendah sehingga air tidak boleh diminum dan hanya sesuai untuk mencuci pakaian dan pinggan mangkuk.

    Kebanyakan penduduk terpaksa memandu ke bandar lain untuk membeli air botol.

    “Kami sentiasa mempunyai air yang banyak,” kata Jordi Esmaindia, timbalan datuk bandar Gualba. “Tiada siapa yang menyangka kami akan berada dalam keadaan begini.”

    Sepanyol telah mengalami tiga tahun hujan di bawah purata di tengah-tengah suhu tinggi yang mencatat rekod, dan keadaan hanya dijangka menjadi lebih buruk akibat perubahan iklim, yang diramalkan akan memanaskan kawasan Mediterranean lebih cepat daripada kawasan lain.

    Takungan yang disalurkan oleh sungai Ter dan Llobregat di utara Catalonia telah jatuh kepada 15.8 peratus kapasitinya, manakala purata 10 tahun takungan itu adalah 70 peratus. Hanya lembangan sungai Guadalete-Barbate di selatan Andalusia, yang menghadapi kekurangan dan sekatan yang serupa, berada dalam keadaan yang lebih teruk, iaitu pada 14.6 peratus.

    Barcelona berjaya mengelakkan kekurangan air dengan meningkatkan sistem penyahgaraman dan penyucian air yang mahal, yang kini menyumbang 55 peratus daripada semua penggunaan air di Catalonia. Walaupun begitu, pihak berkuasa wilayah di Barcelona dan Sevilla, ibu kota Andalusia selatan, sedang mempertimbangkan untuk mengimport air minuman.

    Pihak berkuasa Catalonia di Barcelona mengancam untuk mendenda perbandaran jika penduduk, petani dan perniagaan mereka tidak mematuhi sekatan air. Mereka juga menggesa pihak perbandaran untuk menaikkan bil air supaya mereka boleh membayar untuk memodenkan paip.

    “Sesetengah perbandaran kehilangan 70 hingga 80 peratus air mereka melalui kebocoran,” kata pegawai kerajaan Catalonia, Laura Vilagra, kepada radio nasional Sepanyol, RNE. “Itu tidak mampan.”

    Pakar pengurusan air bimbang kawasan luar bandar akan terus terjejas teruk. Sekatan telah mengurangkan air untuk khinzir dan haiwan ternakan lain kepada 50 peratus dan untuk pengairan tanaman sebanyak 80 peratus – satu tamparan hebat kepada ekonomi luar bandar.

    “Ia menunjukkan bahawa kemarau ini menjadi tajuk utama hanya kerana ia memberikan kesan kepada Barcelona. Sedangkan kita mempunyai kampung-kampung di Pyrenees yang telah mengalami kekurangan air dan perlu mendapatkan air yang dibawa oleh lori selama beberapa bulan,” kata Dante Maschio, jurucakap pertubuhan bukan untung Catalan, Aigua es vida, atau Air Adalah Kehidupan.

    “Jika kemarau tidak diuruskan dengan betul, ia boleh menyebabkan ketidaksamaan yang lebih besar dan ketegangan antara bandar dan kawasan luar bandar,” kata Maschio.

    Banyak bandar membawa air dengan menggunakan lori tangki yang sering kali menelan belanja besar. Kerajaan Catalonia telah berkongsi AS$4.3 juta – daripada jumlah keseluruhan AS$206 juta yang diperuntukkan untuk menangani kemarau – dalam kalangan 213 perbandaran untuk membantu membayar kos pengangkutan air.

    Namun, beberapa bandar terpaksa menutup bekalan air, seperti Espluga de Francoli, yang memutuskan bekalan air setiap hari dari 8 malam hingga 10 pagi untuk membolehkan telaganya pulih semalaman.

    Eva Martinez adalah Datuk Bandar Vallirana, sebuah bandar dengan 15,000 penduduk yang terletak lebih setengah jam ke barat Barcelona. Selama beberapa bulan sekarang, perbandarannya mengalami tempoh di mana ia terpaksa membawa masuk air dengan lori yang diletakkan di kawasan kejiranan untuk penduduk mengisi botol dan baldi.

    “Kami faham bahawa ia adalah mengecewakan bagi para penduduk apabila kami menghadapi masalah dengan air dan apabila kami tidak dapat menyediakan air dalam kuantiti dan kualiti yang diperlukan,” kata Martinez.

    “Kami melihat bahawa hujan tidak turun. Situasi ini amat terdesak.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda