Friday, March 24, 2023
23.9 C
Brunei

-

Kemarau teruk pacu kepupusan gazel iraq

SAMAWAH, IRAQ – Gazel di rizab hidupan liar Iraq berdepan dengan kematian akibat kelaparan, menjadikan haiwan itu mangsa terbaharu di negara di mana perubahan iklim menambah kesukaran selepas perang bertahun-tahun.

Dalam tempoh lebih kurang sebulan, populasi gazel di rizab Sawa di selatan Iraq telah merosot daripada 148 kepada 87 ekor.

Kekurangan dana dan penurunan hujan telah menyebabkan haiwan itu kehilangan sumber makanan, kerana kemarau negara mengeringkan tasik dan menyebabkan hasil tanaman merosot.

Presiden Barham Saleh telah memberi amaran menangani perubahan iklim “mesti menjadi keutamaan Iraq kerana ia merupakan ancaman kepada masa depan generasi kita yang akan datang.”

Haiwan yang elegan, juga dikenali sebagai gazel rhim, terkenal dengan tanduknya yang melengkung dan bulunya berwarna coklat seperti pasir. Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam mengklasifikasikan haiwan berkenaan sebagai terancam dalam Senarai Merahnya.

Pengarah rizab hidupan liar Sawa, Turki al-Jayashi, ketika ditemui pemberita. – AFP
Gazel rhim kelihatan di rizab hidupan liar Sawa di padang pasir Samawa di wilayah selatan Iraq al-Muthanna. – AFP

Di luar rizab Iraq, haiwan itu kebanyakannya ditemui di padang pasir Libya, Mesir dan Algeria tetapi tidak mungkin berjumlah ‘lebih daripada beberapa ratus’ di sana, menurut Senarai Merah.

Turki al-Jayashi, pengarah rizab Sawa, berkata jumlah gazel di sana menjunam sekitar 40 peratus hanya dalam tempoh sebulan hingga akhir Mei.

“Haiwan itu tidak lagi mempunyai bekalan makanan kerana kami tidak menerima dana yang diperlukan daripada kerajaan,” kata Jayashi.

Kewangan Iraq berada di bawah tekanan selepas berdekad perang di negara yang dilanda kemiskinan yang memerlukan peningkatan pertanian dan infrastruktur lain.

Negara itu sedang bergelut dengan rasuah, krisis kewangan dan kebuntuan politik yang menyebabkan Iraq tanpa kerajaan baharu beberapa bulan selepas pilihan raya Oktober.

“Iklim juga telah memberi kesan kepada gazel, yang kekurangan makanan di kawasan seperti padang pasir,” tambah Jayashi.

Tanah tandus

Di tiga rizab Iraq yang lain lebih jauh ke utara, bilangan gazel rhim telah menurun sebanyak 25 peratus dalam tempoh tiga tahun lalu kepada 224 ekor, menurut seorang pegawai kementerian pertanian yang enggan dikenali.

Dia menyalahkan kemerosotan rizab di Al-Madain berdekatan Baghdad, dan di Diyala dan Kirkuk atas sebab ‘kekurangan pembiayaan awam’.

Di rizab Sawa, yang ditubuhkan pada 2007 berhampiran bandar selatan Samawah, haiwan-haiwan itu termengah-mengah di bawah terik matahari.

Tanah coklat dan tandus kering serta pokok renek yang memberikan sedikit khasiat kelihatan kering dan keras. Beberapa gazel dan anak-anaknya meragut jerami yang tersebar di atas tanah yang rata. Selebihnya berlindung di bawah bumbung logam sambil meminum air dari palung. Musim panas belum bermula tetapi suhu sudah mencecah 50 darjah Celsius di beberapa bahagian negara.

Kesan kemarau bertambah teruk lagi apabila sungai mencapai paras rendah mendadak akibat kekurangan air di empangan di hulu dan di anak sungai di Turki dan Iran.

Desertifikasi menjejaskan 39 peratus tanah Iraq, presiden negara itu memberi amaran.

“Kekurangan air memberi kesan negatif kepada semua wilayah kita. Ia akan membawa kepada pengurangan kesuburan tanah pertanian kita kerana pelarutan garam,” kata Saleh.

Dia telah memperuntukkan 100 juta dinar (lebih AS$68,000) dalam usaha membantu menyelamatkan gazel rizab Sawa, kata Jayashi.

Tetapi peruntukan itu terlalu lambat untuk sesetengah orang.

Lima ekor gazel lagi baru mati dan bangkainya bergelimpangan di atas tanah. – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea S, Jepun tingkat kerjasama

TOKYO, 23 MAC - Jepun dan Korea Selatan hampir serentak menarik tuntutan eksport mereka terhadap satu sama lain sebagai tanda terbaharu hubungan yang bertambah...
- Advertisment -