KUALA KANGSAR, 28 Okt – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mendidik anak-anak seawal umur empat tahun bagi membolehkan mereka dapat membaca di samping memupuk semangat jati diri kepada kanak-kanak.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata program tersebut hendaklah disokong oleh ibu bapa demi untuk memajukan anak mereka.
“Selain Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika), Kemas melalui program Kemas 4U mengadakan kelas jahitan dan sebagainya bagi membolehkan masyarakat mendapat ilmu pengetahuan,” katanya ketika berucap pada majlis Karnival Kemas 4U Daerah Kuala Kangsar di Sekolah Kebangsaan (SK) Talang dekat sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kemas Datuk Amiruddin Ariffin dalam ucapannya berkata Kemas ditubuhkan bagi membentuk jati diri kepada kanak-kanak sebelum menempuh alam persekolahan di samping menguasai kemahiran 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) dalam diri setiap kanak-kanak.
Beliau berkata selain itu, Kemas juga melatih masyarakat untuk menguasai ilmu supaya dapat meningkatkan pendapatan dan kehidupan terutamanya masyarakat di luar bandar. – Bernama