KEMAS hasilkan 81,345 set PPE

BEAUFORT, 6 JULAI – Sebanyak 81,345 set peralatan perlindungan diri (PPE) telah dihasilkan sukarelawan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara setakat ini bagi membantu petugas barisan hadapan mengawal penularan COVID-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata seramai 1,002 sukarelawan terlibat dalam usaha itu dan mereka merangkumi tenaga mahir terlatih, kakitangan dan peserta kelas kemahiran Kemas.

Set PPE yang dihasilkan merangkumi gaun isolasi, tudung dan tali pengikat gaun yang dijahit sejak Mac lepas, katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Kepada Sukarelawan Penyedia PPE Kemas Sabah di Tabika Kemas Kampung Muhibbah, di sini, hari ini.

Menurut Dr Abdul Latiff, di Sabah, seba-nyak 6,650 set PPE telah dihasilkan oleh 70 sukarelawan Kemas di negeri itu yang terdiri daripada tenaga mahir dalam bidang kemahiran jahitan dari empat daerah iaitu Sandakan, Penampang, Silam dan Kudat.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita kemudian, Dr Abdul Latiff berkata pihaknya sedar tentang masalah capaian Internet tidak memuaskan di kawasan luar bandar di Sabah.

“Masalah ini bukan sahaja berlaku di Sabah dan Sarawak, tetapi di seluruh Malaysia. Oleh itu di peringkat kementerian, kita telah mengadakan perbincangan dengan  Pengerusi Telekom Malaysia Bhd (TM), Tan Sri Mohd Bakke Salleh mengenai masalah ini.

“Hari ini kita juga adakan pertemuan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk melaksanakan  kerjasama bagi menyelesaikan masalah Internet di luar bandar,” katanya. – Bernama

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada sukarelawan Kemas dari Penampang, Theresa Hugo, kelmarin. – Bernama