Kemas kini garis panduan guna fasiliti di bawah KKBS

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Di bawah Garis Panduan bagi Fasa Awal Endemik, fasiliti dan premis yang berkaitan dengan bidang tugas Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan beroperasi dengan 75 peratus kapasiti atau 300 orang pengguna dan petugas dalam satu masa (yang mana lebih rendah).

Fasiliti dan premis tersebut termasuk pusat orang kelainan upaya (OKU), fasiliti-fasiliti sukan, muzium, galeri pameran dan perpustakaan dan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE).

Garis panduan itu dimaklumkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, garis panduan tambahan bagi setiap jenis premis dan fasiliti seperti pusat OKU yang akan mula beroperasi pada 3 Januari depan, adalah petugas termasuk petugas bantuan hendaklah melengkapkan vaksinasi penuh serta mempunyai kod BruHealth berwarna hijau atau kuning.

Di samping itu, hanya pelatih dan penuntut OKU yang melengkapkan vaksinasi penuh serta mempunyai kod BruHealth berwarna hijau atau kuning dan berupaya menjaga serta menguruskan diri sendiri dibenarkan untuk menjalankan latihan di pusat-pusat OKU.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Selain itu, petugas termasuk petugas bantuan dan para pelatih dan penuntut hendaklah membuat saringan ujian pantas antigen (ART) setiap dua minggu.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan bagi fasa awal endemik ini, fasiliti-fasiliti tersebut termasuk muzium, galeri pameran dan perpustakaan turut dibukakan kepada individu yang belum melengkapkan vaksinasi tapi mereka dikehendaki membuat ujian saringan ART, yang mana tempoh pengesahan keputusan ujian adalah sah selama dua hari.

Sementara itu, bagi kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun yang belum menerima atau melengkapkan suntikan vaksin, dibenarkan untuk menggunakan dan memasuki fasiliti tanpa memerlukan ujian ART, dengan syarat mereka ditemani oleh orang dewasa yang telah melengkapkan vaksinasi.

Manakala itu, gim, pusat kecergasan dan padang golf turut dibukakan kepada ahli-ahli berdaftar dan tidak berdaftar.

Beliau seterusnya mengingatkan, penganjuran organised sport dan sebarang kejohanan sukan masih belum dibenarkan, manakala contact sports adalah dibenarkan hanya bagi sesi latihan tanpa melibatkan latihan sparring.

Semua pengunjung dimestikan memakai pelitup muka pada setiap masa kecuali ketika melakukan senaman atau kegiatan fizikal dan untuk pemain golf masih turut dikehendaki untuk sentiasa memakai pelitup muka.

Pagi PKWE pula, semua aktiviti dan program dalaman dan luar dibenarkan pada kadar 75 peratus kapasiti atau 300 orang pengguna dan petugas dalam satu masa (yang mana lebih rendah) dengan mematuhi langkah-langkah pengawalan.

Mengenai perkembangan pusat penjagaan kanak-kanak (CCC), Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa perkara berkenaan telah dan terus diteliti secara mendalam di peringkat Jawatankuasa Pandu COVID-19 dari pelbagai aspek.

“Amatlah mustahak untuk sebarang pertimbangan bagi pembukaan semula didasarkan kepada imbangan antara keselamatan, kesihatan dan keperluan bagi perkhidmatan CCC terutamanya semasa Fasa Awal Endemik.

“Keputusan mengenai pembukaan semula dan syarat pengoperasian CCC akan diumumkan dalam masa yang terdekat,” jelasnya.

Orang ramai bolehlah merujuk garis panduan terperinci yang telah disediakan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan dengan melayari laman sesawang www.kkbs.gov.bn atau www.jpm.gov.bn.