Kemas kini virus nCoV kepada pihak berkepentingan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Kementerian Kesihatan telah mengadakan empat sesi muzakarah mengenai jangkitan koronavirus baharu (2019-nCoV) bersama beberapa pihak berkepentingan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan dan di Pusat Promosi Kesihatan, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, sesi-sesi muzakarah berkenaan bertujuan untuk memberikan maklumat terkini tentang jangkitan 2019-nCoV dan mengongsi garis-garis panduan yang berkaitan dengan pencegahannya di Negara Brunei Darussalam.

Seramai 120 orang menghadiri sesi-sesi muzakarah berkenaan, yang terdiri daripada pihak-pihak yang berkepentingan iaitu wakil-wakil dari pejabat perwakilan asing ke Negara Brunei Darussalam, Persatuan Hotel Brunei, Persatuan Agensi Pelancongan Brunei, pemandu-pemandu teksi dan pemandu-pemandu dari Dart Logistics Sdn Bhd.

Peserta dan orang ramai dimaklumkan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai jangkitan 2019-nCoV, dengan menghubungi Talian Nasihat Kesihatan di talian 2381380 atau 2381383 pada waktu bekerja iaitu Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 7:45 pagi hingga 12:15 tengah hari dan 1:30 petang hingga 4:30 petang. Bagi panggilan di luar waktu bekerja, orang ramai boleh terus menghubungi Talian Darussalam 123. Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn untuk maklumat lanjut mengenai jangkitan 2019-nCoV.

Salah seorang pegawai Kementerian Kesihatan menyampaikan taklimat situasi terkini penularan virus nCoV kepada peserta.