Kemasukan ke IPTA di Kedah, Sarawak mungkin ditangguh

TANJUNG MALIM, 20 OGOS – Kepulangan penuntut dan kemasukan pelajar baharu ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kedah dan Sarawak pada Oktober depan, mungkin ditangguhkan sekiranya kes COVID-19 di kedua-dua negeri berkenaan didapati meningkat.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata sekiranya penangguhan itu diputuskan, ia akan dilakukan selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri yang terlibat.

“Pelajar akan mula masuk (daftar pada) Oktober, jadi bergantung kepada keadaan semasa COVID-19 dan prosedur operasi standard (SOP) juga telah ditekankan oleh pihak kementerian supaya setiap universiti mengikut SOP yang ditetapkan.

Tetapi bagi kawasan seperti di Kedah, ia bergantung kepada keadaan semasa tempat itu. Saya dapat makluman dalam beberapa minggu lepas, Sarawak ketika itu pun tinggi kes (COVID-19),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi berikutan penularan wabak COVID-19 khususnya di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Noraini berkata pihaknya berpuas hati dengan persediaan IPTA bagi menerima kemasukan pelajar masing-masing pada Oktober depan.

Terdahulu, Noraini bertemu penduduk setempat pada Program Ziarah Kasih di Kampung Changkat Sulaiman di sini hari ini, yang turut disertai calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz. – Bernama

Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ketua Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad (kanan) bersama Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz (dua, kanan) menyantuni penduduk warga emas, Muhamad Sapiaai Itam, 81, pada Program Ziarah Kasih di Kampung Changkat Sulaiman, Sungkai kelmarin. – Bernama