SEOUL, 23 DIS – Korea Selatan mencatat penambahan sebanyak 1,092 jangkitan baharu koronavirus dalam peningkatan yang menghapuskan keyakinan orang awam terhadap kerajaan untuk menangani penularan.
Angka yang dikeluarkan oleh Agensi Kawalan dan Pencegahan Wabak Korea hari ini menjadikan kes keseluruhan kepada 52,550, dengan lebih dari 13,130 kes bertambah pada dua minggu kebelakangan.
Seramai 17 pesakit COVID-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam, menjadikan angka kematian kepada 739 ketika kebimbangan meningkat mengenai kekurangan katil di Unit Rawatan Rapi. Sekurang-kurangnya 284 kes dari 15,085 kes aktif di negara itu berada dalam keadaan serius atau kritikal.
Korea Selatan menunjukkan kejayaan mengawal COVID-19 selepas petugas kesihatan berjaya mengawal penularan di wilayah tengara pada musim bunga, apabila majoriti jangkitan berkait dengan perhimpunan di gereja, bandar Daegu.
Tetapi para pengkritik berkata negara mengambil risiko terhadap kejayaan mereka dengan melonggarkan perintah penjarakan fizikal demi membantu ekonomi. Penularan virus kini berlaku di kawasan yang ramai penduduk dan petugas kesihatan bergelut dengan jangkitan yang berlaku di mana-mana, termasuk hospital, pusat penjagaan dan unit tentera. – AP































