Kematian akibat COVID-19 meningkat kepada 39

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Seorang lagi pesakit disahkan positif COVID-19 di Negara Brunei Darussalam telah meninggal dunia pada hari ini.

Menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, kes tersebut ialah seorang perempuan berumur 71 tahun yang merupakan Kes 5299.

Beliau mengongsikan perkara tersebut semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan pada hari ini, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

“Kes ini telah mengalami masalah paru-paru setelah dijangkiti COVID-19 dan telah menerima rawatan di Unit Rawatan Intensif, Pusat Pengasingan Kebangsaan,” jelas Yang Berhormat Dato.

Ini menjadikan jumlah kes positif meninggal dunia yang disebabkan oleh COVID-19 bertambah kepada 39 orang.

Di kesempatan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga kes berkenaan.

“Semoga keluarga mendiang diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi pemergiannya,” katanya.