Kematian COVID-19 global melepasi 94,000 orang

BRUSSELS, 10 APRIL – Angka kematian global akibat COVID-19 kini melepasi 94,000 orang, sekali gus menunjukkan krisis itu memuncak di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Semalam di AS, kira-kira 1,700 orang dilaporkan meninggal dunia manakala hampir seribu orang menjadi korban koronavirus di Eropah. Daripada angka itu, hampir separuh kematian mendadak direkodkan sejak minggu lalu, meskipun Eropah dan AS menyatakan bilangan kematian semakin berkurangan. Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, berkata keadaan pandemik itu semakin terkawal.

Katanya, di Sepanyol angka korban harian ialah 757 orang berbanding 963 orang pada hari sebelumnya, menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara itu melebihi 15,000 orang.

“Keutamaan kami adalah untuk mengecilkan jumlah kematian dan memulihkan krisis ini,” katanya.

Pakar pandemik di AS, Anthony Fauci, berkata negara itu menunjukkan perkembangan yang baik. Sementara itu, kesihatan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, pesakit paling berprofil tinggi dalam kalangan 1.5 juta orang yang dijangkiti COVID-19, bertambah baik dan dipindahkan ke wad biasa selepas tiga hari di unit rawatan rapi (ICU).

Bagaimanapun, semalam Britain mengumumkan sebanyak 881 kematian dengan jumlah keseluruhan hampir 8,000 kes. – AFP

Gambar menunjukkan Dr Srini V. Mukundan (kanan), mengkaji maklumat pesakit COVID-19 bersama petugas perubatan lain di ICU, Pusat Perubatan Universiti Rush di Chicago semasa pandemik koronavirus. – AP