Kematian COVID-19 India melebihi Perancis

NEW DELHI, 24 JULAI – Angka kematian koronavirus India hari ini melepasi angka maut dicatatkan Perancis apabila merekodkan 30,601 kematian dan hampir 50,000 kes dalam masa semalaman, mengikut data rasmi.

Angka kematian itu adalah yang keenam di belakang AS, Brazil, Britain, Mexico dan Itali, mengikut perkiraan AFP. Ia mempunyai jumlah kes ketiga tertinggi di dunia dengan hampir 1.3 juta jangkitan.

Dalam masa 24 jam lalu, negara itu mencatatkan 740 kematian baharu akibat virus itu dan 49,310 lagi jangkitan baharu, menurut kementerian kesihatan.

Namun ramai pakar percaya dengan pelaksanaan ujian saringan rendah, tahap pandemik di negara kedua paling padat penduduk itu mungkin lebih teruk berbanding laporan rasmi.

Satu kajian antibodi dibuat oleh kerajaan minggu ini menunjukkan bahawa hampir suku daripada penduduk di ibu negara, New Delhi dijangkiti virus – hampir 40 kali lebih tinggi daripada jumlah rasmi.

Kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi melaksanakan perintah sekatan paling tegas dunia pada lewat Mac, namun ia sudah pun banyak dilonggarkan dalam usaha mengurangkan impak ekonomiA akibat pandemik itu.

Walau bagaimanapun, kerajaan negeri melaksanakan sekatan baharu ketika kes-kes semakin meningkat di Bangalore dan jauh dari bandar besar di Bihar, Bengal Barat, Kashmir dan sebahagian Tamil Nadu. – AFP

Seorang petugas kesihatan India mengambil ujian saringan ke atas seorang penduduk di Ahmadabad, India, 24 Julai. India melangkaui Perancis dalam jumlah kematian selepas mencatatkan lebih 30,000 kematian. – AP