Kematian COVID-19 meningkat kepada 13

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Satu lagi kes yang disahkan positif COVID-19 di negara ini telah kembali ke rahmatullah, hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 kepada 13 orang.

Kes tersebut ialah seorang perempuan berumur 44 tahun yang merupakan Kes 1521.

Menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, kes tersebut telah mengalami masalah jangkitan paru-paru setelah dijangkiti COVID-19.

Beliau memaklumkan perkara berkenaan semasa sidang media yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sehubungan itu, demi menjaga kerahsiaan dan menghormati privasi keluarga kes berkenaan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan tidak mengongsikan butiran peribadi kes.

“Orang ramai juga dipohonkan untuk sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan kes tersebut,” tegas beliau.

“Di kesempatan ini, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga kes berkenaan.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para solihin. Al-Fatihah,” tambah beliau.