Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Kematian dalam kalangan lelaki lebih tinggi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Penyakit kardiovaskular di Negara Brunei Darussalam kekal penyebab kematian kedua tertinggi selepas kanser dan menyumbang kepada kira-kira 32 peratus kematian pada 2019.

    Kadar kematian mengikut piawaian umur bagi semua umur adalah kira-kira 175 per 100,000 penduduk pada 2019 bagi kedua-dua jantina, lebih tinggi dalam lelaki iaitu 197 per 100,000 daripada wanita iaitu 151 per 100,000.

    Kadar kematian pra-matang (age-standardized) bagi penyakit kardiovaskular ialah 139 per 100,000, sekali lagi lebih tinggi dalam kalangan lelaki iaitu 190 per 100,000 daripada wanita iaitu 84 per 100,000.

    “Kita juga melihat peningkatan dalam jumlah kematian disebabkan oleh penyakit kardiovaskular dalam kalangan pesakit muda kita,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika berucap pada Pelancaran Garis Panduan Hiperlipidemia Kebangsaan Brunei Darussalam, Persatuan Jantung Brunei Darussalam, hari ini.

    Jumlah kematian dalam kalangan pesakit yang berusia 39 dan ke bawah disebabkan penyakit kardiovaskular meningkat daripada 23 pada 2009 kepada 40 pada 2019, seiring dengan peningkatan keseluruhan jumlah kematian penyakit kardiovaskular, tegasnya lagi pada majlis yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menyempurnakan pelancaran Garis Panduan Hiperlipidemia Kebangsaan Brunei Darussalam, Persatuan Jantung Brunei Darussalam di Hotel Radisson, di ibu negara.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa menyampaikan ucapannya pada pelancaran Garis Panduan Hiperlipidemia Kebangsaan Brunei Darussalam, Persatuan Jantung Brunei Darussalam, kelmarin.

    “Ini mencerminkan peningkatan beban kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan kita serta juga kesan sosioekonomi kepada individu muda, keluarga dan komuniti,” tegas Yang Berhormat Dato lagi.

    Beliau mendedahkan bahawa secara keseluruhannya, kematian pramatang disebabkan penyakit kardiovaskular telah meningkat daripada 26 peratus pada 2012 kepada 32 peratus pada 2019 (perangkaan awal 30 peratus pada 2021).

    Hiperlipidemia, jelas Yang Berhormat Dato, merupakan satu faktor risiko utama bagi penyakit kardiovaskular di Negara Brunei Darussalam bersama-sama dengan hipertensi, diabetes mellitus, obesiti dan merokok. Oleh itu, tegasnya, adalah amat penting bagi kita untuk mengenal pasti dan merawat awal pesakit-pesakit berisiko berkenaan sebelum berkembangnya penyakit kardiovaskular itu. Dalam hubungan itu, Kementerian Kesihatan amat menghargai usaha yang dilaksanakan oleh persatuan perubatan tempatan seperti Persatuan Jantung Brunei Darussalam dalam usaha berterusan untuk menyeragamkan rawatan penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti hiperlipidemia dan hipertensi selaras dengan standard antarabangsa dan trend semasa.

    Garis panduan seumpama itu, tambahnya, tidak dapat dinafikan akan meningkatkan keyakinan pakar klinik dan memperbaiki kualiti keseluruhan penjagaan pesakit-pesakit tempatan kita. Yang Berhormat Dato berkata lagi, garis panduan yang diterbitkan itu adalah hasil usaha bersama antara pelbagai kepakaran termasuk kardiologi, endokrinologi, nefrologi, neurologi, penjagaan warga emas, kesihatan primer serta banyak lagi.

    Beliau berkata bahawa pakar-pakar tempatan telah bertugas tanpa jemu semasa kemuncak pandemik COVID-19 dalam menyemak penerbitan dan garis panduan antarabangsa serta berjumpa menerusi beberapa mesyuarat maya dalam mengumpulkan garis panduan yang bermaklumat itu. Garis panduan itu menggalakkan penjaga kesihatan profesional untuk kerap menyaring pesakit-pesakit bagi hiperlipidemia dan menggunakan kalkulator faktor risiko antarabangsa yang diiktiraf untuk membantu dalam strategi rawatan mereka kelak. Garis panduan itu juga menekankan pentingnya mengekalkan pemakanan dan gaya hidup sihat sebagai sebahagian daripada rawatan hiperlipidemia.

    Yang Berhormat Dato menyuarakan, amat penting bagi orang ramai memberikan penekanan kepada amalan pemakanan dan gaya hidup yang sihat.

    Beliau turut menyatakan perasaan gembira menyaksikan peningkatan program senaman dan aktiviti riadah luar baru-baru ini, dengan negara beransur-ansur kembali kepada normal berikutan masa yang sukar disebabkan pandemik COVID.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...