Kematian di Iran cecah 2,757, jangkitan lebih 40,000

TEHRAN, 30 MAC – Angka kematian rasmi koronavirus Iran kini mencecah 2,757 orang dan jumlah jangkitan pula lebih 40,000 orang, ketika penentang Presiden Hassan Rouhani mengecam responsnya terhadap wabak itu.

Republik Islam itu merupakan sebuah daripada negara-negara yang paling teruk terjejas oleh virus tersebut yang berasal dari China. Iran sudah pun bergelut untuk mengekang penularan COVID-19 semenjak ia melaporkan kes pertamanya pada 19 Februari.

Selepas berminggu-minggu enggan melaksanakan lockdown atau langkah-langkah kuarantin, Tehran pada Rabu lalu memutuskan untuk menyekat semua perjalanan antara bandar sehingga 8 April, namun segelintir dalam pentadbiran kerajaan mengatakan langkah itu terlalu kecil dan sudah terlambat.

Jurucakap kementerian kesihatan Kianoush Jahanpour mengatakan pada satu sidang media harian bahawa 117 lagi orang disahkan mati akibat virus itu dalam masa 24 jam lalu dan sebanyak 3,186 kes baharu disahkan.

Menurut Janapour, 13,911 daripada mereka yang dimasukkan ke hospital kerana virus sudah pun pulih manakala 3,411 orang dalam keadaan kritikal. – AFP