Kematian di rumah penjagaan UK melebihi 12,000 orang

LONDON, 15 MEI – Lebih daripada 12,500 kematian warga di rumah penjagaan Britain dikaitkan dengan wabak koronavirus, menurut angka yang dikeluarkan hari ini, yang semakin memberi tekanan kepada kerajaan mengenai bagaimana mereka menangani pandemik.

Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) mengatakan 12,526 warga di rumah penjagaan di England dan Wales telah meninggal dunia akibat virus pada bulan Mac dan April, dengan hampir suku terjadi di rumah dan selebihnya di hospital.

Walau bagaimanapun, ONS memberitahu jumlah kematian sebenar di rumah jagaan jauh lebih tinggi, dengan mencatatkan 23,136 lebih banyak kematian dalam empat bulan pertama tahun ini berbanding pada tempoh yang sama pada tahun 2019.

Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps, berkata kelmarin bahawa ‘sebilangan besar’ rumah penjagaan tidak mengalami kes virus dan kadar kematian di rumah tersebut adalah lebih rendah daripada di negara-negara jiran Eropah.

Britain mencatatkan kematian kedua tertinggi COVID-19 di dunia, menurut data rasmi, meskipun kerajaan berpendapat bahawa perbandingan global penuh dengan kaedah pelaporan negara yang berbeza.

ONS dan badan kesihatan serantau UK melaporkan awal minggu ini bahawa mereka telah mencatatkan 36,473 kematian dari atau dikaitkan dengan virus sehingga 1 Mei – berada di tempat kedua di belakang Amerika Syarikat.

Angka tersebut menunjukkan bahawa kematian berlebihan Britain, yang menurut para pakar adalah petunjuk paling tepat mengenai kesan virus itu, hampir kepada 50,000 orang.

Angka-angka dari Jabatan Kesihatan mengatakan terdapat 33,614 kematian dari mereka yang diuji positif menghidapi virus tersebut.

Menteri-menteri dan penasihat saintifik berkata gambaran sebenar sejauh mana wabak itu tidak akan muncul selama berbulan-bulan.

Kerajaan Perdana Menteri Boris Johnson, telah dikritik kerana tidak bertindak balas terhadap wabak, terutama yang berkaitan dengan rumah penjagaan, dengan menuduh mereka telah dipinggirkan semasa pandemik.- AFP