‘Kematian harian tertinggi di Sarawak bukan situasi sebenar’

KUCHING, 20 SEPT – Jumlah kematian harian tertinggi sebanyak 20 kes yang diumumkan di Sarawak semalam melibatkan kes tertunggak yang lewat dilaporkan berikutan beberapa faktor, dan bukannya menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku
di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata daripada 20 kematian yang dilaporkan itu, 11 daripadanya berlaku pada 17 Sept, empat kematian (18 Sept), dua kematian (15 Sept) dan masing-masing satu kematian pada 6, 7 dan 16 September.

“Backlog atau kelewatan dalam melaporkan kematian itu adalah kerana pihak hospital perlu melakukan bedah siasat untuk memastikan dan mengetahui sama ada ia berpunca daripada COVID-19 atau tidak,” katanya pada sidang media Jawatankuasa Kerja Kesedaran Awam COVID-19 di sini hari ini.

Sementara itu, Uggah berkata Sarawak mengatur langkah lebih agresif dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai COVID-19 menjelang peralihan ke fasa endemik yang dijangkakan selewatnya-lewatnya hujung tahun ini. – Bernama