CANBERRA, 19 Julai – Kerajaan Australia menuntut jawapan daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat berhubung kes kematian rakyatnya, Justine Damond, 40 yang ditembak anggota polis di Minneapolis, baru-baru ini, demikian menurut agensi berita Xinhua.
Damond mati ditembak anggota polis yang datang selepas wanita itu menghubungi talian kecemasan 911 bagi melaporkan kes pergaduhan berhampiran kediamannya.
Nama polis yang menembak mangsa didedahkan sebagai Mohamed Noor. Wanita itu yang memakai pakaian tidur, tidak bersenjata ketika menghampiri kenderaan polis.
Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull ketika bercakap di saluran televisyen tempatan hari ini berkata pihaknya mahukan jawapan terhadap tragedi yang berlaku itu.
“Kami mahukan penjelasan terhadap apa yang berlaku, ia pembunuhan yang mengejutkan dan sesuatu yang sukar untuk diterima… kami amat bersimpati dengan keluarga mangsa,” katanya. Menurut Turnbull, kerajaan juga menuntut jawapan bagi pihak keluarga mangsa.
“Mengapa seorang wanita yang memakai baju tidur dan berdiri di tepi jalan meminta bantuan daripada pihak polis, ditembak seperti itu? Pembunuhan di Minneapolis ini benar-benar tragik,” katanya.
Kenyataan Turnbull dibuat susulan pendedahan anggota polis yang menembak Damond mula bertugas dengan jabatan polis tempatan itu sejak dua tahun lalu, namun mempunyai beberapa aduan terhadap perkhidmatannya.
Sementara itu, kira-kira 300 anggota keluarga dan rakan menghadiri upacara memperingati mangsa yang diadakan di Freshwater Beach, Sydney, pagi tadi. Dalam perkembangan berkaitan, tunang Damond, Don pula dilaporkan berkata anggota keluarganya masih belum diberikan maklumat terbaharu berhubung kes berkenaan.
“Kami telah kehilangan orang yang disayangi, kini kami amat terdesak untuk tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya di Minneapolis. – Bernama