Friday, March 21, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kematian ke-10 akibat virus ebola di Congo

    KINSHASA, 10 Ogos – Kematian ke-10 yang disahkan sebagai kes ebola telah dicatatkan berlaku di wilayah Kivu Utara yang terletak di timur Republik Demokratik Congo (DRC), kelmarin, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan daripada kementerian kesihatan negara itu.

    Menteri Kesihatan Oly Ilunga berkata susulan kes tersebut, Ebola telah menjadi virus endemik di kawasan hutan khatulistiwa di negara tersebut.

    Epidemik itu, yang diisytihar telah berakhir di DRC pada bulan lepas oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), muncul semula dengan mencatatkan satu lagi kes terbaharu yang disahkan berlaku di bandaraya Beni pada 1 Ogos.

    Kesemua 10 kes yang telah disahkan itu adalah antara sejumlah 37 kematian akibat pesakit yang mengalami simptom demam berdarah di DRC, menurut pasukan kesihatan di lokasi.

    Selain itu, 17 daripada 44 kes lagi yang masih lagi menjalani rawatan kerana mengalami demam berdarah, telah disahkan dijangkiti virus Ebola.

    Terdapat sejumlah 54 kes yang disyaki dijangkiti virus Ebola, manakala 27 lagi belum menjalani ujian, kata pasukan kesihatan.

    Pihak berkuasa tempatan telah menghantar sejumlah 3,220 dos vaksin dari ibu kota ke pusat repositori sebagai respons kepada kempen vaksinasi awal yang dilancarkan oleh responden pertama dalam memerangi penularan wabak Ebola.

    Meskipun terdapat cabaran dalam membasmi virus itu, Ilunga melahirkan keyakinan terhadap respons pasukan perubatan tempatan yang tepat pada masanya dan efektif.

    Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dan timbalannya yang bertanggungjawab dalam intervensi kecemasan, Peter Salama, telah tiba di Kinshasa kelmarin bagi menghadiri satu penilaian bersama dengan pihak berkuasa kesihatan di Congo. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda