Kematian misteri 36 ekor kerbau disiasat

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Kematian sejumlah kerbau secara misteri yang video dan gambarnya tular di laman sosial hari ini mengejutkan masyarakat dan penduduk di negara ini.

Sehubungan itu, wartawan Media Permata berkunjung ke lokasi kejadian di Kampung Katimahar untuk mendapatkan maklumat sahih kejadian itu setelah pelbagai andaian dan persepsi muncul mengenainya.

Menurut Pemangku Ketua Kampung Katimahar, Haji Bujang Bin Abdul Ghani, punca kematian mengejut kerbau-kerbau itu masih lagi dalam penyiasatan.

Berdasarkan pengamatan dan maklumat yang diperolehi, sebanyak 36 ekor kerbau telah disahkan mati dalam masa beberapa hari dan masih kelihatan bergelimpangan di salah sebuah ladang di kampung tersebut.

Turut berada di lokasi ialah pegawai dan kakitangan dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.

Menurut Haji Bujang lagi, 36 ekor kerbau yang mati itu merupakan haiwan ternakan milik lima orang penternak tempatan. Penduduk juga menanam dan menimbus bangkai haiwan itu di kawasan berhampiran lokasi kejadian sesegera mungkin bagi mengelak pencemaran dan penyebaran penyakit atau kuman jika terus terdedah lama, tambahnya.

Kerbau-kerbau yang mati secara mengejut bergelimpangan di sebuah ladang di kampung tersebut.