Kematian pertama tidak jadi besar

SUVA, FIJI, 31 JULAI – Fiji merekodkan kes kematian COVID-19 pertamanya hari ini, namun pegawai kesihatan meyakinkan penduduk negara kepulauan Pasifik itu bahawa ia bukan menjadi punca kepada wabak yang besar.

Menteri Kesihatan, Ifereimi Waqainabete, berkata mangsa ber-usia 66 tahun diuji positif selepas pulang dari India, di mana dia menjalani pembedahan jantung.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan oleh petugas kesihatan, namun lelaki itu meninggal dunia semalam di wad pengasingan di Hospital Lautoka akibat komplikasi COVID-19.

“Lelaki itu antara satu daripada sembilan kes aktif yang menjalani kuarantin sejak dihantar pulang dari India pada 1 Julai lalu.

“Mangsa dan lapan lagi kes aktif tidak mempunyai interaksi dengan penduduk di Fiji. Di kebanyakan negara lain, kematian pertama akan dikaitkan dengan kematian seterusnya akibat wabak itu, tetapi tidak pada komuniti Fiji dan tidak ada risiko jangkitan.

“Ini adalah tragedi besar kepada mereka dan kakitangan di kementerian kesihatan dan perkhidmatan perubatan terasa satu kehilangan yang besar,” katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Sebelum ini Fiji bebas daripada wabak COVID-19 dalam tempoh empat minggu selepas semua 18 kes yang dilaporkan pulih sepenuhnya. – AFP