Kembali berbakti kepada negara

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, baru-baru ini, telah menghadiri sesi perjumpaan dan dialog bersama penuntut-penuntut dan pegawai dalam bidang perubatan, pergigian dan profesional kesihatan bersekutu termasuk yang mengikuti kursus kepakaran, di London, United Kingdom (UK).

Delegasi Kementerian Kesihatan yang diketuai oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan itu juga disertai oleh Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke UK, Tuan Yang Terutama Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad dan Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui.

Dalam sesi tersebut, Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah menyampaikan ucapan yang antara lain menyentuh mengenai usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk terus meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam melalui perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang terbaik. 

Salah satu kaedah untuk mencapai matlamat tersebut adalah dengan memastikan tenaga pakar perubatan dan kesihatan, termasuk profesional kesihatan bersekutu dibekalkan dengan pendidikan dan latihan di tahap yang tertinggi dalam bidang masing-masing. 

Yang Berhormat Dato juga mengongsikan bahawa jumlah doktor serta pakar perubatan dan kesihatan, termasuk profesional kesihatan bersekutu, di Negara Brunei Darussalam masih belum cukup untuk memenuhi keperluan dalam memperkembangkan perkhidmatan dan mencapai pembangunan infrastruktur kesihatan yang pesat.

Seterusnya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menyatakan bahawa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam terus memberikan biasiswa dan latihan dalam perkhidmatan (LDP) kepada penuntut-penuntut dan pegawai-pegawai yang berkenaan untuk mengambil jurusan atau kepakaran dalam bidang perubatan dan kesihatan, termasuk profesional kesihatan bersekutu, sama ada di dalam dan luar negara. 

Oleh yang demikian, adalah sangat besar harapan Kementerian Kesihatan bagi penuntut-penuntut berkenaan untuk menunjukkan patriotisme dan kesetiaan kepada negara dan bangsa setelah selesai menjalani pembelajaran dan latihan untuk kembali bertugas di negara bagi menyumbangkan khidmat bakti dengan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan efisien demi meningkatkan tahap kesihatan sekali gus kesejahteraan rakyat dan penduduk serta masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

Sesi dialog yang diadakan merangkumi perbincangan mengenai cabaran-cabaran dalam sistem kesihatan pada masa hadapan, laluan kerjaya dalam bidang kepakaran, peluang-peluang latihan dalam perkhidmatan, dan jenis-jenis kepakaran perubatan, pergigian, serta profesional kesihatan bersekutu yang sangat-sangat diperlukan di Negara Brunei Darussalam.

Gambar ramai Yang Berhormat Menteri Kesihatan bersama para pelajar perubatan, pegawai dan profesional kesihatan bersekutu. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan