Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Kembali ke Futaba satu kesilapan?

    FUTABA, JEPUN – Yasushi Hosozawa kembali pada hari pertama mungkin selepas sebahagian kecil kampung halamannya, Futaba, dibuka semula pada Januari lalu dan 11 tahun telah berlalu selepas krisis nuklear di loji Fukushima Daiichi.

    Futaba, yang menempatkan sebahagian daripada loji itu, menyaksikan pemindahan kesemua 7,000 penduduk kerana pencemaran radiasi nuklear selepas gempa bumi pada 11 Mac 2011 dan tsunami berikutnya yang menyebabkan lebih 18,000 orang mati atau hilang di sepanjang pantai timur laut Jepun.

    Hanya tujuh orang telah kembali secara kekal untuk tinggal di bandar berkenaan.

    “Futaba adalah tempat tinggal saya. Saya ingin kembali sejak bencana itu berlaku. Ia sentiasa dalam fikiran,” kata Hosozawa, 77, semasa wawancara dengan The Associated Press di rumahnya, yang dibina di atas bangsal yang dipenuhi dengan peralatan memancing buatan tangan.

    Sebuah kedai ramen terbiar terletak bersebelahan, dan begitu banyak rumah dan bangunan di sekelilingnya telah dirobohkan, kejiranan itu kelihatan tandus.

    Sebuah trak membawa barangan ke tapak pembinaan kompleks pangsapuri yang dirancang di Futaba, timur laut Jepun. – AP
    Jentera berat dilihat berdekatan dengan bangunan yang kelihatan semakin ranap di bandar Futaba, timur laut Jepun. Kebanyakan bangunan yang rosak telah dirobohkan dalam tempoh 11 tahun yang lalu. – AP
    Yasushi Hosozawa memandu melepasi bangunan yang rosak di bandar tersebut semasa dalam perjalanan pulang dari membeli makanan tengah hari di bandar Namie. – AP

    Hosozawa, seorang pesara tukang paip, terpaksa berpindah tiga kali sepanjang dekad yang lalu. Kembali ke Futaba adalah impiannya, dan dia dengan sabar menunggu sementara bandar-bandar lain dibuka semula lebih awal.

    Sementara itu, yang mengecewakannya ialah bekalan air tidak disambung semula pada hari dia kembali ke tempat tersebut. Dia terpaksa mengisi bekas plastik dengan air dari rumah rakannya di pekan berhampiran.

    Pekan tersebut tidak mempunyai klinik, kedai serbaneka atau perkhidmatan komersial lain untuk keperluan harian. Dia perlu meninggalkan Futaba untuk mendapatkan barangan runcit atau berjumpa doktor untuk ubat diabetesnya.

    Pada hari kebiasaannya, dia membuat sarapan pagi dengan hidangan seperti nasi, sup miso dan natto. Pada lewat pagi, dia memandu sekitar 10 minit ke Namie, sebuah bandar di utara Futaba, untuk membeli makanan tengah hari yang dibungkus dan membeli-belah.

    Dia berjalan-jalan pada sebelah petang, tetapi “saya tidak nampak kelibat orang lain kecuali polis yang meronda.”

    Dia singgah di stesen kereta api sekali-sekala untuk berbual dengan pegawai bandar. Selepas makan malam di rumah, dia tidur awal sambil mendengar lagu tradisional Jepun “enka”.

    Dia menantikan musim memancing pada musim bunga dan menanam sayur-sayuran di kebunnya.

    Tetapi Hosozawa tertanya-tanya sama ada perkara ini adalah cara terbaik untuk menghabiskan tahun-tahun terakhirnya. “Saya tidak akan hidup lebih lama lagi, dan jika saya mempunyai tiga hingga empat tahun lagi, saya lebih suka tidak berada di Futaba seperti ini,” katanya. “Kembali ke sini mungkin satu kesilapan,” tambahnya.

    “Siapa yang mahu kembali ke bandar tanpa sekolah ataupun doktor? Saya tidak fikir anak-anak muda dengan kanak-kanak akan mahu datang,” katanya.

    Semasa sejumlah besar radiasi nuklear bocor daripada loji berkenaan, lebih 160,000 penduduk dipindahkan dari seluruh Fukushima, termasuk 33,000 yang masih tidak dapat pulang ke kediaman mereka.

    Manakala, daripada 12 buah bandar berdekatan yang ditetapkan sepenuhnya atau sebahagiannya sebagai zon larangan, Futaba adalah yang terakhir membenarkan sesetengah orang untuk kembali mendiami tempat berkenaan.

    Ramai penduduk Futaba terpaksa menyerahkan tanah mereka untuk membina kawasan penyimpanan sisa radioaktif, dan keadaan Fukushima Daiichi yang tidak menentu semasa pembersihannya selama beberapa dekad menjadikan perancangan bandar sukar.

    Projek Futaba, yang membantu menghidupkan semula bandar melalui pelancongan, perniagaan baharu dan penghijrahan dari luar Fukushima, melihat potensi untuk pelancongan pendidikan.

    “Tempat dengan bekas bencana kekal di Futaba dan pelawat boleh melihat realitinya serta memikirkan masa hadapan,” kata Hidehiko Yamasako, kakitangan di Projek Futaba.

    Hideyuki Ban, pengarah bersama Pusat Maklumat Nuklear Rakyat, mengatakan bahawa mereka yang kembali ke kawasan itu harus menjalani pemeriksaan kesihatan. Beliau berkata tahap radiasi boleh didiami adalah sama seperti pekerja nuklear, dan boleh menyebabkan peningkatan risiko kanser dalam tempoh lima tahun.

    Pada Jun nanti, Futaba bersedia untuk membuka semula secara rasmi kawasan seluas 560 hektar berhampiran stesen kereta api iaitu kira-kira 10 peratus dari bandar tersebut. Begitu juga kawasan yang pernah menjadi daerah komersial di mana lebih separuh penduduk bandar itu pernah tinggal. Lawatan pada waktu pagi telah dibenarkan sejak 2020 menjelang Sukan Olimpik Tokyo, apabila perkhidmatan kereta api dan bas disambung semula dan sebuah muzium bencana yang dikendalikan oleh pentadbir wilayah telah dibuka.

    Futaba telah menjemput sebanyak 24 buah syarikat, kebanyakannya terlibat dalam kerja pembersihan bandar dan loji, untuk memulakan perniagaan baharu sebagai sebahagian daripada usaha menggiatkan semula industri tempatan. Dewan bandaran sementara akan dibuka pada bulan Ogos, dan sebuah kompleks perumahan awam sebanyak 86 unit juga sedang dibina. Matlamat bandar tersebut adalah untuk mempunyai 2,000 penduduk dalam tempoh lima tahun.

    Tinjauan terbaharu menunjukkan hanya 11.3 peratus daripada 5,625 orang yang masih mendaftar sebagai penduduk Futaba mahu pulang ke rumah untuk tinggal di sana, dengan lebih 60 peratus mengatakan mereka tidak ingin tinggal di sana tetapi 66 peratus mengatakan mereka mahu kekal berhubung dengan bandar berkenaan. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...