Kembali ke zaman klasik di Lamin Warisan

Oleh Nurdiyanah R.

Bayangkan sejenak, di sebuah rumah kampung berdekatan halaman kelihatan anak sungai mengalir jernih airnya. Di sekeliling rumah pula terdapat pohon buah-buahan tempatan yang berpuluh tahun mencecah usia.

Ketika malam menjelma, bunyi unggas dan cengkerik sambil dihiasi de-ngan kesegaran udara sejuk menyapa diri ketika bersantai di luar beranda rumah pastinya menambah lagi kenikmatan suasana kampung.

Hakikatnya, nikmat dan tenang keadaan sebegini sebenarnya sudah jarang dirasai oleh generasi muda kini kerana arus perkembangan moden semakin menerjah zaman yang silih berganti. Rumah kediaman kini pula kebanyakannya dibina dengan rekaan ciri-ciri moden sehingga agak sukar untuk kita menyaksikan keaslian rumah-rumah kayu tradisional bertiang seperti dahulu kala. Jika ada pun mungkin ia tidak lagi dijaga atau terus terbiar.

Namun tidak bagi ahli keluarga Datu Lela Raja Haji Mohd Jair bin Bendahari Haji Ghafar yang menetap di Kampung Tanjung Maya, Daerah Tutong ini bahkan mereka dilihat semakin bergerak aktif dalam mengetengahkan keaslian sebuah rumah kayu lama yang dikenali sebagai Lamin Warisan di mata masyarakat di negara ini sehingga menjadi salah satu destinasi pelancongan menarik di daerah berkenaan.

Kembali ke zaman klasik

Kata ‘Lamin’ berasal daripada bahasa Tutong yang bermaksud rumah atau kediaman. Jika diteliti rumah kayu berwarna hijau bertiang sederhana dengan tingkap jenis ‘belah dua’ itu meskipun pada luarannya seakan-akan sama sahaja seperti sebahagian rumah lama yang lain disekitarnya, sehinggalah pengunjung melangkah kaki ke bahagian dalam rumah berkenaan.

Lamin Warisan yang terletak di Kampung Tanjung Maya, Daerah Tutong ini merupakan salah satu destinasi pelancongan menarik yang diketengahkan oleh ahli keluarga Datu Lela Raja Haji Mohd Jair sejak tahun 2012.

Dayang Nor Naqibah selaku pengurus Lamin Warisan dan juga sebagai salah seorang gene-rasi keempat yang turut sama memartabatkan khazanah rumah warisan rumah peninggalan datuk tersayang sehingga menjadi galeri tarikan penuh nostalgik bersama kedua ibu bapa dan ahli-ahli keluarga yang lain sejak tahun 2012 lagi.
Antara barangan antik berupa rehal yang terdapat di Lamin Warisan turut dipamerkan bagi tontonan orang ramai.
Barangan antik yang sungguh memukau mata dan jiwa sehingga mampu menghidupkan kenangan lama, seperti terdapatnya perkakas dan peralatan dapur seperti pinggan, penggiling lada, pengapit kelapa dan pengisar santan; dan juga penumbuk padi lama yang sering digunakan nenek moyang kita dahulu.

Semakin kita menjejak masuk ke dalam rumah itu, pengunjung akan mendapati setiap inci dalamannya dihiasi dengan barangan antik, sehinggakan seolah-olah kita dibawa kembali ke zaman klasik. Itulah seribu pengalaman terindah yang dirasai oleh penulis dan rakan Media Permata apabila berkesempatan berkunjung ke rumah tersebut, baru-baru ini.

Rumah peninggalan menjadi ristaan bersama

Semasa ditemui, Dayang Nor Naqibah binti Abdul Hamid selaku pengurus Lamin Warisan menjelaskan rumah berkenaan telah dibina pada tahun 1956 yang mana didiami oleh Allahyarham datuk beliau, Bendahari Haji Ghafar bin Haji Sidi dan kemudian diwarisi pula oleh nenek lelakinya, Datu Lela Raja Haji Mohd Jair sebagai generasi kedua.

“Pelbagai barangan lama sekitar tahun 50an dan 60an tersimpan di sini, daripada situlah kami sekeluarga bersatu hati untuk menjadikannya sebagai tatapan yang penuh berharga bukan sahaja untuk anak-anak serta cucu-ci-cit terdekat bahkan juga untuk semua lapisan masyarakat di negara ini.

“Sememangnya bermatlamat untuk kita sama-sama dapat menjiwai betapa indahnya warna-warni kehidupan orang-orang kampung suatu ketika dahulu. Pastinya memiliki suasana penuh dengan ketenangan dan juga kesederhanaan dalam meniti kehidupan sehari-hari,” ujarnya lagi yang kini sebagai salah seorang generasi keempat yang turut sama memartabatkan khazanah rumah warisan ini menjadi galeri tarikan penuh nostalgik bersama kedua ibu bapa dan ahli-ahli keluarga yang lain sejak tahun 2012 lagi.

Barangan antik sungguh memukau

Jelas Dayang Nor Naqibah lagi, apa yang menariknya ialah menerusi galeri ini, terdapat tiga aspek utama yang diketengahkan khususnya dalam menyelami nilai-nilai kehidupan Puak Melayu Tutong untuk tatapan para pengunjung setempat dan juga luar negara iaitu meliputi kebudayaan, bahasa dan juga kulinari istimewa berkonsepkan sentuhan cita rasa kampung.

Beberapa bahagian di rumah ini dipenuhi dengan barangan antik yang sungguh memukau mata dan jiwa sehingga mampu menghidupkan kenangan lama, seperti terdapatnya perkakas dan peralatan dapur seperti pinggan, penggiling lada, pengapit kelapa dan pengisar santan dan juga penumbuk padi lama yang sering digunakan nenek moyang kita dahulu.

Begitu juga dengan rumah bilik tidur, tiada berkatil namun hanya beralas tilam empuk ditutupi dengan kelambu putih cerah di atasnya. Selain itu, baju-baju rekaan klasik serta beberapa jenis permainan tradisional seperti congkak kayu turut dipamerkan. Begitu juga koleksi-koleksi buku dan dokumentasi peribadi antaranya kitab Muqaddam, buku dikir, gambar kenangan lama dan sejarah Brunei silam.

Biarlah nilai kemelayuan sentiasa ada

Segalanya indah dipandang seperti keadaan asal sehingga mampu setiap detik perjalanan di dalam mampu menggambarkan kehidupan rutin dan budaya orang kampung silam.

Siapa sangka, konsep klasik yang diketengahkan sebegini juga menarik minat ramai orang sehingga pada sekitar penghujung tahun 2018, Lamin Warisan ini pernah menerima lebih 1,000 orang pengunjung dari 10 buah negara di beberapa buah negara-negara di Eropah dan juga ASEAN.

Di akhir pertemuan, Dayang Nor Naqibah turut berkesempatan mengungkapkan bahawa adalah menjadi harapan besar mereka untuk sentiasa berkongsi segala ilmu dan kemahiran berharga kepada para pengunjung agar nilai-nilai luhur budaya tradisi yang menjadi identiti kita sebegini tidak terhakis sebegitu sahaja.