Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Kembali mulakan pembelajaran bersemuka

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Setelah melalui pembelajaran secara dalam talian disebabkan gelombang ketiga wabak COVID, pelajar-pelajar Tahun 7 hingga 11 akhirnya kembali ke sekolah bagi memulakan sesi pembelajaran mereka secara bersemuka, hari ini.

    Media Permata berpeluang untuk membuat tinjauan serta menyaksikan proses pelaksanaan pelajar-pelajar untuk hadir ke sekolah bagi pengembalian sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.

    Dalam tinjauan ke Sekolah Menengah Masin, mendapati pelajar-pelajar apabila tiba di sekolah, mereka perlu menunjukkan kod BruHealth masing-masing, mengimbas kod QR serta perlu membawa tiket keputusan ujian ART yang telah ditandatangani oleh ibu bapa atau penjaga mereka sebelum diberikan Kad Ujian ART masing-masing untuk diisi serta membawanya ke bilik darjah bagi ditunjukkan kepada guru kelas sebelum dapat memasuki bilik darjah untuk memulakan sesi pembelajaran mereka.

    Pengetua Sekolah Menengah Masin, Hajah Norwen binti Haji Brahim ketika di temu bual berkata bahawa sekolah itu mengalu-alukan kehadiran kembali kira-kira 750 orang pelajar dari Tahun 7 hingga 11 untuk memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka mereka.

    Beliau menerangkan prosedur yang perlu dilakukan oleh para pelajar adalah mereka perlu menjalani ujian ART di rumah dan mengisi Google Form dan tiket untuk pengesahan oleh ibu bapa atau penjaga, tiket pengesahan ibu bapa berkenaan perlu dibawa dan diserahkan kepada guru pengawas, kad ART akan diberikan untuk diisi pelajar dan dikembalikan kepada guru kelas serta guru kelas akan membenarkan pelajar yang mempunyai kad ART untuk masuk ke kelas.

    Seorang guru melihat seorang pelajar mengisi Kad Ujian ART yang diberikan untuk dikembalikan kepada guru kelas masing-masing.
    Pelajar Sekolah Menengah Masin diberikan kad ART untuk diisi dan dikembalikan kepada guru kelas.
    Pelajar Sekolah Menengah Masin memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka kelmarin.
    Suasana dalam kelas semasa sesi persekolahan bersemuka bermula di Sekolah Menengah Katok. – Gambar oleh Adib Noor
    Pelajar Sekolah Menengah Katok mengikut prosedur sekolah sebelum memulakan sesi pembelajaran bersemuka. – Gambar oleh Adib Noor

    Hajah Norwen juga menjelaskan bahawa seperti yang dimaklumkan oleh pihak Kementerian Pendidikan, kekerapan pelaksanaan ujian saringan ART bagi para pelajar, tenaga pengajar dan warga sekolah adalah tiga kali dalam seminggu, oleh itu, para pelajar perlu membuat ujian saringan ART pada malam Ahad, Rabu dan Jumaat, mengisikan keputusan ujian ART ke dalam borang Google supaya dapat diakses oleh para guru serta mengisi tiket pengesahan ibu bapa sebelum mereka pergi ke sekolah.

    Di samping itu, beliau turut mengalu-alukan kehadiran pelajar yang belum mendapatkan vaksinasi untuk hadir ke sekolah bagi memulakan pembelajaran secara bersemuka di bilik darjah.

    Mengulas mengenai pengembalian pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka, beliau menyatakan perasaan syukur kerana pelajar dan tenaga pengajar dapat kembali melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.

    Beliau akui bahawa pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian mempunyai cabarannya yang tersendiri dan tenaga pengajar serta pelajar lebih cenderung kepada pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.

    Antara cabaran yang dihadapi oleh para pelajar dan tenaga pengajar ketika mengadakan pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian ialah sambungan Internet yang kurang stabil serta perkongsian peranti bagi pembelajaran dengan adik-beradik.

    Hajah Norwen menyatakan harapan agar ibu bapa akan sentiasa memastikan anak-anak mereka hadir di sekolah, memantau kesihatan dan tidak mengalami sebarang gejala seperti batuk, selesema dan seumpamanya sebelum pergi ke sekolah.

    Beliau turut menyatakan bahawa sekolah berkenaan mempunyai seramai 130 orang guru dan 24 orang kakitangan di mana kesemua guru serta kakitangan berkenaan telah lengkap dua dos vaksinasi dan lebih daripada 70 peratus telah mendapatkan dos penggalak mereka.

    Menurut kenyataan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman pada 2 April lalu, pengembalian sesi persekolahan secara bersemuka itu adalah dalam mengambil kira kesediaan sekolah-sekolah yang berkenaan untuk beroperasi serta kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) dan garis pandu yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan melaksanakan ujian saringan ART seperti yang telah ditetapkan.

    “Dalam pada itu, demi memastikan kesihatan dan keselamatan khususnya bagi pelajar-pelajar, tenaga pengajar dan kakitangan warga sekolah, Kementerian Pendidikan turut memaklumkan bahawa kekerapan pelaksanaan ujian saringan ART bagi para pelajar, tenaga pengajar dan warga sekolah adalah dengan ini ditambah dari dua kali seminggu kepada tiga kali dalam seminggu.

    “Untuk tujuan ini, bekalan ART akan diagihkan oleh Kementerian Pendidikan kepada semua sekolah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan melalui kementerian masing-masing bagi sekolah-sekolah agama dan sekolah Arab serta pusat-pusat khas.”

    Kementerian Pendidikan akan terus bekerja rapat dengan pihak-pihak yang berkenaan, dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan warga pendidikan akan sentiasa terjaga serta ingin menasihatkan para ibu bapa dan penjaga pelajar untuk sentiasa memantau kesihatan anak-anak dan memastikan mereka tidak mengalami sebarang gejala seperti batuk, selesema dan seumpamanya sebelum pergi ke sekolah.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...