Wednesday, June 7, 2023
34 C
Brunei

    -

    Kembalikan jati diri pakaian tradisi Melayu

    Raya pada tahun ini, saya berasa kecewa dan amat terkilan. Bukan kerana tidak dapat beraya bersama keluarga tersayang di kampung dek tuntutan tugas, tetapi berasa tidak senang melihat persalinan baju Melayu yang semakin hilang identiti.

    Jika diperhatikan dalam kalangan anak muda hari ini, tidak terkecuali para selebriti gagal memahami estetika baju Melayu yang memiliki rohnya yang tersendiri.

    Rentetan itu, seyogia rekaan baju Melayu mengangkat jati diri bangsa Melayu sekali gus merupakan satu penghormatan kerana ia dekat dengan falsafah luhur baik budaya atau agama.

    Waima pun demikian, apa yang cukup menarik perhatian saya sejak kebelakangan ini ialah mengenai pengubahsuaian baju Melayu lebih-lebih lagi dalam suasana kita masih meraikan sambutan Aidilfitri yang mulia.

    Apa yang dapat saya perhatikan, dari segi rekaan dan penggayaan baju Melayu kini kelihatan terlalu ‘ekstrem’ dan ia menjadi bahan bualan serta tular dalam kalangan masyarakat sekarang.

    Misalnya, baju Melayu yang dipakai seorang usahawan kosmetik di negara jiran yang juga selebriti media sosial dalam klip video lagu rayanya baru-baru ini.

    Bagaimanapun, rekaannya yang ketat dan sendat telah merosakkan imej baju Melayu sebagai lambang peradaban bangsa dan berkaitan dengan rukun Islam, tauhid, dan maruah.

    Justeru itu, saya cukup kesal kerana trend berpakaian sedemikian turut tular dan menjangkiti masyarakat di negara ini lebih-lebih lagi dalam kalangan anak-anak muda kitani yang bakal menerajui pembangunan negara pada masa depan.

    Pada hari pertama Syawal, melihat beberapa pemuda saat berkunjung ke rumah sepupu saya yang tidak mengenakan songkok dan coba mengenakan baju Melayu dengan gaya kononnya ala ‘Oppa Korea’,dengan seluar potongan ‘cropped pants’ digayakan dengan kasut kulit.

    Gaya ini sangat bertentangan dengan adab berpakaian baju Melayu kitani, justeru merendahkan keindahan baju Melayu itu sendiri.

    Natijahnya, janganlah kitani menjadi penyebab kepada kepupusan pakaian tradisi kerana baju Melayu adalah aset penting yang patut dibanggakan dan terus dipertahankan.

    Si Batik Biru

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    NZ ambil tindakan penggunaan vape

    WELLINGTON, 6 JUN - New Zealand akan mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan vape atau rokok elektronik untuk melindungi golongan mudanya, umum Menteri Kesihatan Ayesha...
    - Advertisment -