Kembalikan keyakinan pasaran, perkasa rakyat

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Pandemik COVID-19 sememangnya menguji kerelevanan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) sebagai platform kerjasama ekonomi yang selama ini memberi manfaat kepada rakyat dalam negara-negara anggota APEC.

Sehubungan itu, APEC perlu mengembalikan keyakinan pasaran ke arah memajukan pemulihan awal dan mengukuhkan semula perdagangan serta pelaburan melalui menggalakkan iklim pro-business seperti reformasi struktur, mengukuhkan pemudahcaraan perdagangan dan integrasi ekonomi serta memajukan usaha Kawasan Perdagangan Bebas di Asia Pasifik (FTAAP).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu ketika berkenan mengurniakan titah pada Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC (AELM) ke-27 bertemakan Optimising Human Potential Towards a Resilient Future of Shared Prosperity: Pivot, Prioritise, Progress secara maya melalui persidangan video dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman hari ini.

Pada penyertaan bersama para pemimpin APEC bagi Leader’s Retreat Mesyuarat AELM ke-27 itu, Baginda turut menegaskan pemerkasaan rakyat negara anggota APEC, khususnya golongan belia dan wanita serta perniagaan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) hendaklah diutamakan bagi memastikan tiada yang ketinggalan. Ini termasuklah meningkatkan akses yang saksama kepada peluang-peluang ekonomi dan sumber-sumber bagi membolehkan mereka memanfaatkan teknologi baharu dan prospek kemajuan.

Baginda turut mengalu-alukan usaha-usaha ke arah memperkukuhkan agenda kerjasama ekonomi dan teknikal APEC yang mendorong kepada pembangunan kapasiti, perkongsian amalan terbaik terutama dalam bidang digital dan pembangunan sumber tenaga manusia.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah pada Sidang AELM ke-27.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bersama para pemimpin APEC meluluskan dan melancarkan Visi Putrajaya APEC 2040.
Baginda Sultan semasa berkenan berangkat menyertai Mesyuarat AELM ke-27 secara maya bersama pemimpin-pemimpin APEC yang lain.
Baginda Sultan semasa berkenan berangkat menyertai Leader’s Retreat Mesyuarat Ketua-Ketua Ekonomi APEC ke-27 secara maya.

Selanjutnya, Baginda menyeru agar APEC memanfaatkan kerjasama dengan organisasi antarabangsa yang lain. Negara Brunei Darussalam, sebagai ekonomi ahli APEC dan Pengerusi ASEAN tahun 2021, berharap untuk dapat bekerja rapat bersama semua ekonomi dalam meneruskan agenda pemulihan semula ekonomi serantau.

Terdahulu, Baginda mengalu-alukan Visi Putrajaya APEC 2040 yang memberikan do-rongan ke arah mencapai misi baharu pasca COVID-19.

Baginda juga melahirkan kepercayaan kepada kepimpinan Perdana Menteri New Zealand, Puan Yang Terutama Jacinda Ardern selaku pengerusi APEC tahun 2021 dan seterusnya bertitah bahawa APEC mampu bersatu menghadapi cabaran dan merebut peluang ke arah mencapai visi masyarakat Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman damai menjelang 2040.

Pada pembukaan mesyuarat, Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin selaku pengerusi APEC 2020 semasa menyampaikan ucapan pembukaan, antara lainnya, mengambil maklum bahawa APEC telah menyediakan rangka kerja bagi ekonomi-ekonomi ahli untuk melaksanakan idea-idea ekonomi berdasarkan kesepakatan bersama bagi meningkatkan kemakmuran penduduk di rantau ini.

Dalam kerjasama ekonomi-ekonomi ahli APEC untuk mengurangkan impak-impak COVID-19, kerelevanan APEC semakin penting di mana APEC mendorong penyelesaian isu serantau demi memastikan pengedaran vaksin dalam harga berpatutan, mudah diperolehi dan secara saksama.

Dalam mesyuarat ini, para pemimpin mendengarkan laporan mengenai Global Economic Outlook daripada Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva yang menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi global telah menurun sebanyak 4.4 peratus berbanding tahun lepas, dan seterusnya menggesa ekonomi-ekonomi ahli ke arah pemulihan ekonomi yang mantap melalui pelaburan dalam penduduk, kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial.

IMF juga mencadangkan pembangunan dan penyelarasan infrastruktur yang kukuh serta menggerakkan dan memodenkan perdagangan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi di tahap pra-COVID-19.

Para pemimpin menyentuh mengenai pasca COVID-19, Visi Putrajaya APEC 2040 dan Deklarasi Kuala Lumpur 2020.

Visi Putrajaya APEC 2040 memupuk penyertaan rakyat, dan kearah sistem pasaran yang lebih kukuh dan multilateralisme perdagangan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang terbuka dan saksama.

Sementara itu, Deklarasi Kuala Lumpur 2020 akan memajukan pertumbuhan mampan dan inklusif bagi membina rantau yang lebih berdaya tahan dan bermanfaat kepada rakyat.

Para pemimpin juga mengetengahkan kepentingan pertumbuhan berasaskan inovasi, dan peningkatan kesalinghubungan untuk memudahkan aliran barangan dan manusia.

Pemulihan serantau bergantung kepada akses vaksin COVID-19 yang saksama dan selamat serta reformasi struktur dalam membina ekosistem perdagangan tempatan. APEC juga perlu mengutamakan agenda perubahan iklim serta pencapaian keseimbangan antara ekonomi-ekonomi digital dan hijau.

Sebelum Mesyuarat APEC ini berakhir, Visi Putrajaya APEC 2040 dan Deklarasi Kuala Lumpur 2020 diluluskan. Perdana Menteri Malaysia seterusnya menyerahkan kepengerusian APEC kepada PYT Jacinda Ardern.