Oleh Pg Fairol RMF
Gambar Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Sembahyang berjemaah perlu dikembangkan ke semua sekolah-sekolah di bawah kendalian Kementerian Pendidikan dan bukan hanya diadakan di sekolah-sekolah Arab dan agama sahaja, menggunakan surau dan mana-mana ruang yang bersesuaian.
Ini kerana sekolah-sekolah Arab dan agama memang mengamalkan sembahyang berjemaah, sama ada di surau-surau atau di masjid berdekatan dan perkara ini sangat bagus untuk ditekankan, bukan hanya bagi para pelajar, malahan para ibu bapa dan penjaga yang ingin bersembahyang jemaah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bertitah menekankan perkara itu pada Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara Tahun 1439 Hijrah / 2018 Masihi. yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas kelmarin.
Amali atau praktikal sembahyang jemaah sudah pun diajarkan di sekolah-sekolah agama di negara ini kerana ia dianggap perlu, bukan hanya setakat untuk menjadikan para pelajar tahu apa itu sembahyang jemaah, tetapi juga agar mereka suka dan istiqamah melakukannya, titah Baginda.
Baginda Sultan turut menyeru rakyat negara ini untuk meningkatkan azam supaya rajin ke masjid dan surau bagi merebut pahala sembahyang berjemaah.







“Andainya kita tidak mampu melakukannya setiap waktu di masjid, maka sekurang-kurangnya kita perlu beriltizam untuk bersembahyang jemaah bersama-sama keluarga di rumah.
“Ini kerana dengan peningkatan sembahyang berjemaah itu, keluarga, sekolah, anak-anak kita akan mendapat berkat, malah negara kita, Brunei Darussalam juga beroleh berkat yang sama,” tekan Baginda.
Manakala menyentuh mengenai memakmurkan masjid, Baginda Sultan bertitah menyeru agar Jabatan Hal Ehwal Masjid menjadikan setiap masjid di negara ini ‘mesra jemaah’ melalui persekitaran yang bersih dan menarik, mengisikannya dengan kegiatan-kegiatan berkebajikan seperti ceramah-ceramah agama, membaca kitab secara berhalaqah dan lain-lain lagi yang cukup berkesan untuk meramaikan masjid.
“Inilah antara tugas dan tanggungjawab Jabatan Hal Ehwal Masjid, dibantu oleh jawatankuasa takmir masjid.
“Laksanakanlah tugas dan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya, nescaya akan mendapat hasilnya yang baik dengan izin Allah,” titah Baginda.
Baginda juga bertitah agar apa-apa yang berkaitan dengan masjid diperbaiki dan dipertingkatkan, seperti pegawai-pegawai, penyediaan dan khasnya, penyampaian khutbah-khutbah oleh para khatib pada hari Jumaat.
“Khutbah dan penyampaiannya adalah nadi bagi agama dan jika khutbah dan penyampaiannya lemah, maka lemahlah nadi itu,” titah Baginda.
Baginda Sultan turut bertitah, bagi kemudahan umat Islam mengerjakan sembahyang berjemaah, maka lebih banyak masjid akan dibina dan terus dibina bagi memenuhi keperluannya. Sehubungan itu, Tabung Dana Pembinaan Masjid ditubuhkan untuk memberi peluang kepada orang ramai sama-sama menyumbang kepada pembangunan dan pemuliharaan masjid, sambil mengeratkan lagi hubungan antara jemaah dan masjid.
Ini kerana pembinaan masjid dan pemuliharaannnya adalah sangat penting, supaya masjid sentiasa tersergam, selamat dan selesa untuk para jemaah beribadat dan memelihara akidah, tekan Baginda.
Menyentuh mengenai peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj, Baginda Sultan menasihatkan agar rakyat dan penduduk negara ini sentiasa bersyukur atas nikmat yang dikecapi, antaranya nikmat keamanan dan perpaduan sehingga dapat memperingati peristiwa Israk dan Mikraj dengan penuh selesa.
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, antara peristiwa penting dalam Israk dan Mikraj ialah persinggahan Nabi SAW di Masjid Al-Aqsa di Palestin, dengan Baginda menjadi imam dalam sembahyang berjemaah bersama para nabi yang lain.
“Peristiwa itu tidak syak lagi merujuk betapa pentingnya sembahyang berjemaah itu kepada kita umat Islam,” tegas Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Terdahulu keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1439 Hijrah; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar serta ahli-ahli jawatankuasa lain.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh johan Musabaqah Membaca Al-Quran bagi Belia dan Beliawanis Masjid Senegara Tahun 2015, Awang Abdul Qawiiyyel Azeez bin Haji Abdul Rajid, manakala kesimpulan maknanya disampaikan oleh Pegawai Masjid Kampung Selangan, Temburong, Awang Mahdini bin Khamis.
Majlis diikuti sembah ucapan oleh Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin yang menyembahkan bahawa Sambutan Israk dan Mikraj tahun ini bertemakan ‘Sembahyang Berjemaah Meraih Berkat’ yang bermaksud untuk menyampaikan dakwah dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam khasnya golongan belia, yang mana Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui jabatan dan bahagian di bawahnya mengaturkan program yang berkaitan dengan dakwah dan masjid, iaitu Pameran Program Keagamaan Belia yang diadakan pada majlis tersebut.
Menteri Hal Ehwal Ugama turut menyembahkan bahawa KHEU bersama kementerian-kementerian lain juga merencanakan dua majlis iringan, iaitu Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah di seluruh masjid, surau dan balai ibadat dengan pengisian utamanya takzirah dan membaca Surah Al-Kahfi beramai-ramai dan Program Mudahnya Sembahyang yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien pada Program Bandarku Ceria.
Pada majlis itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan mengurniakan titah.
Ia diikuti Ceramah Khas bertajuk ‘Sembahyang Berjemaah Meraih Berkat’ disampaikan oleh Pemangku Ra’es, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.
Majlis turut diserikan dengan persembahan pentas kisah dan tauladan dalam Islam daripada johan Peraduan Mari Bercerita Kisah dan Tauladan dalam Islam, Kumpulan Belia dan Beliawanis dan Kelas Quran dan Kelas Muqaddam, Masjid STKRJ Lambak Kiri.
Seterusnya, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja berkenan melawat ke petak-petak Pameran Program Keagamaan Belia yang disertai kumpulan belia berdaftar di bawah KHEU.
Sebanyak 16 petak pameran yang disertai oleh persatuan-persatuan belia dari empat daerah menampilkan pelbagai aktiviti menyerikan lagi majlis berkenaan.