Wednesday, March 22, 2023
22.9 C
Brunei

-

Kembang disiplin Usuluddin

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Ilmu usuluddin tidak dapat dikembangkan dalam masyarakat khususnya generasi muda jika sekiranya penambahbaikan tidak diusahakan oleh ahli atau pakar dalam bidang ilmu itu sendiri.

Golongan ilmuwan perlu memainkan peranan dengan menampilkan disiplin usuluddin mengikut peringkat tertentu, iaitu membezakannya dengan ilmu bersesuaian dengan orang awam dan ahli dalam bidang ini.

Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim menekankan lagi bahawa perlunya inisiatif baharu seperti menggabungkannya dengan disiplin ilmu moden yang mempunyai kaitan dengannya, termasuk sains sosial, kaunseling dan psikologi.

Beliau menekankan perkara itu ketika menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian Multaqa Usuluddin bertemakan ‘Kurikulum Usuluddin: Pemantapan dan Keberkesanan’ anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Fakulti Usuluddin dengan kerjasama Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, hari ini.

Wakil pengerusi seminar, Dr Norasimah binti Haji Omar dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, seminar merupakan acara tahunan Fakulti Usuluddin yang bertujuan untuk memantapkan dan mendalami ilmu pengetahuan dan pengajian usuluddin dalam kalangan pensyarah dan pelajar, di samping dapat menyelaras serta menambah baik kurikulum Usuluddin di peringkat pra universiti di bawah KHEU dan Kementerian Pendidikan bagi memenuhi keperluan asas para pelajar.

Haji Mohammad Rosli, Dr Norasimah dan para hadirin menadahkan tangan ketika doa dibacakan pada majlis perasmian Multaqa Usuluddin tersebut.
Antara jemputan yang hadir pada majlis berkenaan.

Beliau menambah, tema seminar adalah bagi menyahut cabaran isu serantau terhadap masalah yang telah timbul dalam bidang pengajian usuluddin di pelbagai peringkat.

Seminar dimulakan dengan pembentangan ucaptama yang disampaikan oleh Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar yang membangkitkan beberapa isu dalam kurikulum usuluddin yang perlu penilaian semula iaitu dari segi matlamat pelajaran usuluddin yang perlu diperjelas agar dapat membina personaliti pelajar yang berjati Melayu Islam Beraja (MIB).

Majlis juga diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para pembentang seminar Multaqa Usuluddin.

Seminar akan berlangsung selama dua hari dan diisikan dengan dua kategori penyampaian kertas kerja. Pembentangan kertas kerja pertama termasuk pembentangan ucaptama dan lima kertas kerja oleh tenaga akademik KUPU SB manakala itu, pembentangan kedua berbentuk forum.

Para peserta seminar disasarkan kepada tenaga pengajar dari Jabatan Pengajian Islam, guru di pusat tingkatan enam seluruh negara, para pegawai dari institusi pendidikan tinggi dan Jabatan Peperiksaan, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan serta Bahagian Kurikulum dan Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam, JAMA’AT dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Artikel sebelum iniDuterte kritik Putin
Artikel seterusnyaOIC, AS adakan dialog strategik
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea S, Jepun perlu lupakan sejarah lampau

SEOUL, 21 MAC - Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol hari ini berkata hubungan dua hala antara Korea Selatan dan Jepun perlu bergerak ke...
- Advertisment -