Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Kembang ekonomi melalui kepelbagaian hasil

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Dalam usaha ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035, pelbagai inisiatif dan projek telah dan sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan.

    “Kejayaannya memerlukan sokongan dan komitmen padu daripada semua pihak, termasuk sektor awam, swasta dan orang ramai selain ianya juga memerlukan pendekatan whole of government dan whole of nation, agar segala projek, dasar dan pembaharuan yang dilaksanakan itu memenuhi keperluan semua pihak.

    “Salah satu strategi ke arah mencapai wawasan itu ialah dengan memperkembangkan ekonomi negara melalui kepelbagaian hasil,” kata Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim dalam usul menjunjung kasih titah Baginda Sultan pada hari pertama Majlis Permesyuaratan ke 18 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Katanya lagi, titah Baginda sangat bernas, serta mengandungi banyak pedoman untuk di jadikan panduan dan rujukan.

    “Ianya jelas mencerminkan kebijaksanaan, pandangan jauh dan keprihatinan Baginda yang amat mendalam terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini,” tambahnya.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa semasa usul menjunjung kasih pada Majlis Permesyuaratan MMN ke-18. – Gambar oleh Infofoto

    Menurutnya lagi, salah satu perkara yang terus mendapat perhatian kerajaan Baginda, ialah jaminan keselamatan sosial, khususnya semasa zaman persaraan.

    Ke arah itu, kajian berkaitan dengan Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah pun selesai dilaksanakan oleh pihak Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dan akan mula dilaksanakan pada tahun 2023.

    “Dalam masa sama, usaha untuk mempromosikan program-program pengurusan kewangan peribadi dan budaya menabung hendaklah diteruskan,” katanya.

    Beliau seterusnya menjelaskan, projek-projek pelaburan langsung asing (FDI) yang dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu, sudah mula menampakkan hasil, dan dijangka akan terus berkembang.

    Selaras dengan titah Baginda juga, syarikat-syarikat dan para pencari kerja tempatan terutama lepasan sekolah, diseru untuk merebut peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan yang terjana daripada projek-projek tersebut dengan sebaik-baiknya.

    Beliau turut menjelaskan yang kemunculan wabak COVID-19 telah menimbulkan pelbagai cabaran baharu dan sekali gus mengubah cara kita berinteraksi, bekerja, berniaga, belajar dan sebagainya.

    Meskipun demikian, salah satu kebaikan yang diperolehi ialah kepesatan transformasi digital, yang membolehkan kita terus melakukan aktiviti-aktiviti tersebut dalam keadaan norma baharu.

    Dalam membantu pihak-pihak yang terkesan, jelasnya, pelbagai inisiatif dan bantuan telah dihulurkan oleh kerajaan mahupun pihak swasta.

    Ini termasuk bantuan kepada perusahaan-perusahaan mikro, kecil dan sederhana, bantuan kewangan bagi pekerja-pekerja swasta, dan bantuan berupa peralatan pembelajaran seperti komputer untuk para pelajar.

    “Dalam hubungan ini, perkhidmatan internet yang pantas dan berdaya tahan adalah penting bagi memastikan tiada pihak yang ketinggalan,” jelasnya.

    Penularan wabak COVID-19 ini juga telah menjejaskan bekalan makanan di merata dunia termasuklah Negara Brunei sendiri dan isu keselamatan bekalan makanan (food security) adalah salah satu isu yang perlu terus diberikan perhatian dan keutamaan, kerana ianya merupakan keperluan asasi bagi kelangsungan hidup.

    “Usaha-usaha meningkatkan penghasilan dan pengeluaran makanan, khususnya dalam sektor pertanian, agri-makanan, perikanan dan ternakan ke arah mencapai tahap sara diri giat dilaksanakan dan akan mendatangkan hasil yang dihasratkan,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...