Oleh Daniel Lim
BELAIT, 10 MAC – Sekolah Arab Belait (SAB), hari ini, telah mengadakan Aktiviti Hari EMS-ing di mana para pelajar dan guru-guru memakai pakaian berdasarkan watak kegemaran mereka daripada buku.
Diadakan oleh Jabatan Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, aktiviti berkenaan, dengan EMS ringkasan bagi Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, dijalankan untuk membantu pelajar mengalihkan perhatian kepada tiga mata pelajar berkenaan dengan tumpuan khusus ke atas Bahasa Inggeris.
Fokus ini dibuat sempena Hari Buku Sedunia, acara amal tahunan yang diadakan di United Kingdom pada setiap Khamis pertama Mac, di mana kepentingan membaca diketengahkan.
Oleh itu, acara berkenaan bertujuan untuk melengkapkan kanak-kanak dengan buku mengenai pengetahuan dan cerita-cerita yang membantu mereka mengembangkan dan membangunkan lagi kemahiran membaca dan pemahaman mereka.
Pengetua SAB, Hajah Noramalina binti Haji Mohd Ali dalam ucapannya antara lain menggalakkan para pelajar yang memakai pakaian watak kegemaran mereka supaya memanfaatkan acara berkenaan untuk membangunkan kemahiran membaca.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk masa membaca selama sejam di mana para pelajar bersama guru-guru meluangkan masa sejam pertama dengan membaca buku yang mereka bawa dari rumah atau perpustakaan sekolah dan dikongsikan sesama mereka dalam bilik kelas masing-masing.
Kemudian, para pelajar dan guru-guru berkumpul di kawasan serba guna di tingkat satu sekolah untuk menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan termasuk perarakan buku dan diikuti dengan pertandingan pakaian terbaik.
Selepas waktu rehat, aktiviti diteruskan dengan Perlumbaan EMS-ing di mana para pelajar menggunakan pengetahuan dan kemahiran mereka untuk menyelesaikan masalah dan soalan yang dipaparkan di sekitar sekolah. Sementara itu, pada sebelah petang, para pelajar menghadiri pameran bertajuk Success Story serta sesi perkongsian bersama guru biologi di Sekolah Menengah Tanjong Maya, Tutong, Hajah Nur Hamizah binti Haji Samihon.

