Tuesday, October 4, 2022
24.3 C
Brunei

Kembangkan pengajaran hafazan Al-Quran

-

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Teknik menghafaz Al-Quran semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat di negara ini dan ia perlu diperluaskan dan dimajukan pengajarannya bersandarkan permintaan dan profil setiap peringkat masyarakat.

Momentum dan minat terhadapnya dapat dijadikan inspirasi kepada pihak berkenan untuk mengembang luaskan akses kepada program-program hafazan yang terbukti kepada golongan sasaran.

Ia sekali gus akan melengkapkan sistem pengajian dan taddabur Al-Quran yang akan memacu negara ke arah aspirasi memantapkan sebuah negara zikir.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri menekankan perkara itu semasa berkenan mengurniakan sabda pada Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah ke-10 di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas hari ini.

Duli Yang Teramat Mulia turut mengambil maklum dan gembira mengetahui bahawa beberapa pusat pengajian swasta dipelopori usahawan tempatan termasuk individu yang ditauliahkan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) telah tampil menawarkan pengajian seumpamanya kepada orang ramai di negara ini dan menggesa ia dijadikan inspirasi oleh pihak-pihak berkenaan untuk mengembang luaskannya.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan sabda pada Majlis Haflut Takharruj ke-10 ITQSHHB, kelmarin.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan syahadah Diploma ‘Aliyah Qiraat kepada salah seorang graduan.
Antara jemputan yang hadir pada majlis berkenaan.

Duli Yang Teramat Mulia dalam sabdanya juga menegaskan bahawa pengajian tahfiz Al-Quran dan penguasaan qiraat sememangnya telah pun diwarisi dari zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang masih lagi relevan sehingga ke hari ini.

Pengajiannya sudah semestinya mempunyai impak dan barakah serta manfaat dalam melestarikan berbagai cabang bidang pengajian Islam khususnya sebagai teras dalam ilmu syariah dan usuluddin.

“Islam adalah agama syumul yang mana Al-Quran adalah sumber ilmu dan petunjuk yang menjadi pemandu cara hidup umat manusia. Kerana itu kita dituntut untuk sentiasa mempelajari serta mengamalkan ajarannya seperti yang ditekankan dalam Surah Al-Qamar ayat 17.

“Ayat itu diulang empat kali dalam surah yang sama, yang menurut para ulama bermaksud Allah SWT telah memudahkan manusia untuk membaca, menghafaz dan memanfaatkan ilmu Al-Quran namun ia juga seolah-olah menegaskan bahawa kemudahan tersebut tidak ada kesannya jika kita sendiri tidak mempelajari dan mengamalkannya,” sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.

Duli Yang Teramat Mulia turut mengambil maklum, pada saban tahun hanya sebahagian kecil sahaja yang berjaya menamatkan pengajian dan seterusnya meraih kejayaan.

“Walaupun bilangan graduan yang terhad, namun kita yakin dengan kualiti terbaik dari setiap lepasan, keberkatan dan kerahmatan dari Al-Quran akan dapat menjamin masa depan graduan-graduan dan juga keselamatan dan kemakmuran negara serta melepaskan kita dari berbagai musibah,” sabdanya.

Duli Yang Teramat Mulia juga percaya dengan bertambahnya jumlah alumni Diploma ‘Aliyah Qiraat, kelas pengajian tahfiz dan qiraat Al-Quran ini akan dapat dikembang luaskan ke seluruh peringkat masyarakat dan pelosok negara yang secara tidak langsung menepati atau mencapai matlamat penubuhan institut tahfiz.

Ini khususnya ke arah meningkatkan bilangan huffaz yang profesional, berdaya maju dan serba boleh yang berpotensi serta berperanan sebagai usahawan, pendakwah dan pemimpin masyarakat yang sentiasa berpegang teguh kepada keberkatan kehidupan di samping dapat meraih ganjaran pahala dan syafaat Al-Quran.

“Perkembangan positif ini berkaitan dengan titah ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-17 baru-baru ini yang secara khusus menyentuh mengenai peranan signifikan dan trend transformasi set minda dalam kalangan belia,” sabdanya.

Duli Yang Teramat Mulia terdahulu turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada para graduan termasuk ibu bapa dan penjaga mereka atas kesungguhan, keyakinan dan sokongan sehingga mereka berjaya menamatkan pengajian di institut itu.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

PBB: 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan

ISLAMABAD, 3 OKT – Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kira-kira 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan serius dalam masa...
- Advertisment -