Kembangkan perniagaan anda dengan bijak, betul

SETELAH anda memulakan perniagaan, anda pasti ingin mengembangkan perniagaan anda ke tahap seterusnya.

Anda mungkin telah melakukan banyak penyelidikan dan meminta bantuan daripada penasihat serta mendapatkan maklumat daripada buku, majalah dan sumber-sumber lain yang sedia ada. Anda melabur banyak dari segi duit, masa dan tenaga untuk memulakan perniagaan anda. Jadi, sekarang apa tindakan anda seterusnya?

Bagi anda yang telah terselamat di permulaan perniagaan dan telah berjaya bertapak dengan kukuh, anda mungkin tertanya-tanya apakah langkah seterusnya untuk mengembangkan perniagaan anda.

Terdapat banyak cara untuk mengembangkan perniagaan tetapi di sini dikongsikan beberapa cara paling pantas untuk anda. Memilih langkah yang betul untuk perniagaan anda bergantung kepada jenis perniagaan yang anda miliki, sumber yang ada dan berapa banyak wang, masa dan tenaga yang sedia anda laburkan sekali lagi.

1. Buka cawangan baharu

Cara ini mungkin bukan pilihan terbaik anda untuk pengembangan perniagaan, tetapi ia disenaraikan terawal di sini kerana itulah yang sering datang ke fikiran ramai usahawan apabila mempertimbangkan untuk mengembangkan perniagaan. Pengembangan fizikal tidak selalunya jawapan pertumbuhan yang terbaik tanpa penyelidikan yang teliti, perancangan dan peruntukan perbelanjaan yang betul. Sebelum membuka cawangan lain, anda perlu:

-Pastikan anda mengekalkan keuntungan yang konsisten dan perniagaan anda telah menunjukkan pertumbuhan yang stabil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

-Perhatikan trend, dari segi ekonomi dan pengguna untuk memastikan syarikat anda berupaya untuk bersaing.

-Pastikan sistem pentadbiran dan pengurusan syarikat anda adalah luar biasa hebat kerana anda memerlukannya untuk mendapatkan lokasi baharu dan beroperasi sepenuhnya.

-Menyediakan pelan perniagaan yang lengkap untuk lokasi baharu.

-Menentukan di mana dan bagaimana anda akan mendapat pembiayaan.

-Pilih lokasi anda berdasarkan apa yang terbaik untuk perniagaan anda, bukan berdasarkan ego anda.

2. Tawaran perniagaan anda sebagai francais

Franchising atau pemfrancaisan menyediakan manfaat untuk kedua-dua penjual dan pembeli. Untuk ‘francaisor,’ manfaat utama adalah keupayaan untuk menggunakan wang orang lain untuk mengembangkan jenama dengan lebih cepat berbanding secara bersendirian atau melalui pelabur atau melalui pinjaman. Yuran permulaan francais dan royalti berterusan yang dikumpul membolehkan francaisor membina jenama mereka tanpa mengorbankan kawalan kepada orang luar atau tekanan peminjam membayar balik. Bayaran dan royalti digunakan untuk membiayai operasi di ibu pejabat korporat, latihan dan sokongan kepada francaisi, meningkatkan kualiti barangan atau perkhidmatan dan membina jenama di pasaran.

Untuk francaisi, faedah termasuk: peluang kejayaan yang lebih tinggi berbanding dengan perniagaan pemilikan tunggal, masa yang lebih singkat untuk pembukaan, latihan dan sokongan yang berterusan, bantuan dalam mencari tapak yang optimum, kuasa menjual jenama yang dikenali, kos yang lebih rendah melalui pembelian berkumpulan, penggunaan model perniagaan yang telah terbukti berjaya, kempen pengiklanan dalam negara dan serantau, pengurusan pelanggan yang lebih teratur melalui laman web dan pusat panggilan berpusat, dan rangkaian rakan-rakan (rakan-rakan francaisi) untuk memberi nasihat dan sokongan moral melalui Internet syarikat, persidangan tahunan dan persatuan pemegang francais dan bantuan untuk mendapatkan pembiayaan.

Seperti kebanyakan perniagaan lain, perniagaan francais juga mempunyai kelemahan. Antaranya termasuklah: kekurangan kebebasan, dari barangan dan perkhidmatan yang boleh dijual sehinggalah warna cat pada dinding kedai, promosi syarikat yang tidak wajar dijalankan di tempat tertentu tetapi tetap dijalankan kerana semua francaisi harus bergerak bersama. Sebagai contoh, potongan harga tidak harus dilakukan di kawasan kos tinggi tetapi ia tetap dijalankan kerana semua francaisi harus menurut arahan pusat. Contoh yang lain adalah seperti perubahan pucuk pimpinan di pusat yang menyebabkan perubahan model perniagaan, kelainan penjenamaan dan hala tuju yang baharu.

3. Lesenkan produk anda

Cara ini boleh menjadi satu medium pertumbuhan yang efektif dan berkos rendah terutamanya jika anda mempunyai produk berasaskan perkhidmatan atau produk berjenama. Sebagai contoh, anda boleh menerima wang pendahuluan dan royalti daripada jualan terus dan penggunaan perisian anda secara berterusan. Pelesenan juga mengurangkan risiko dan kos berbanding dengan kos memulakan syarikat anda sendiri dan kemudian menghasilkan serta menjual jenama atau produk anda.

Untuk mencari rakan kongsi pelesenan, mulakan dengan menyelidik syarikat yang menyediakan produk atau perkhidmatan yang sama dengan anda. Tetapi sebelum anda bermesyuarat atau menghubungi mana-mana syarikat, mencari seorang peguam yang berwibawa yang pakar dalam hak-hak harta intelek adalah perlu untuk melindungi kepentingan anda. Ini adalah cara terbaik untuk mengurangkan risiko kehilangan kawalan perkhidmatan atau produk anda.

4. Membentuk persekutuan

Logik kepada perikatan strategik, iaitu usaha sama antara dua syarikat adalah sangat menarik. Sebagai contoh, adalah amat sukar untuk memecah masuk ke dalam pasaran baharu dan perkongsian boleh membawa akses segera kepada pelanggan baharu. Sekiranya sebuah syarikat ingin berpindah ke pasaran baharu dan bergantung kepada diri sendiri untuk berkembang, ia akan memakan masa bertahun-tahun untuk bertapak dengan kukuh. Sekiranya ia dilakukan dengan rakan kongsi, ia mungkin mengambil masa cuma beberapa bulan.

Perkongsian tidak semestinya memberi fokus kepada menghubungkan pasaran semata, ia juga boleh membekalkan modal atau memberi akses kepada teknologi dan pembuatan. Ia juga memberi kesan positif yang lain. Melakukan perjanjian pakatan dengan pemain utama jelas menambahkan kredibiliti kepada organisasi yang lebih kecil.

Mewujudkan pakatan berjaya adalah sangat mencabar. Sering kali, syarikat-syarikat yang memulakan perniagaan dengan rakan kongsi yang salah atau atas sebab-sebab yang salah, akan menyesali keputusan mereka di kemudian hari. Walaupun satu pakatan yang kelihatan hebat di atas kertas, perbezaan budaya antara kedua-dua pihak boleh menjejaskan pakatan itu.

5. Mempelbagaikan perniagaan

Kepelbagaian perniagaan adalah berkenaan dengan membina produk baharu, meneroka pasaran baharu dan mengambil risiko baharu. Walaupun ia adalah sesuatu yang berisiko, tetapi ia boleh menjadi pengukur kestabilan syarikat.

Sepertimana kepelbagaian dalam dunia kewangan, di mana ia adalah satu cara untuk melindung nilai portfolio anda dan memastikan bahawa, jika salah satu pelaburan anda tidak berhasil, anda mempunyai pelan sandaran untuk menstabilkan portfolio anda sehingga anda berupaya kembali mencatat keuntungan yang tinggi untuk semua pelaburan anda. Konsep ini adalah lebih kurang sama dalam dunia pemilikan perniagaan.

Oleh kerana sektor swasta tidak dapat diduga dan minat pelanggan sentiasa berubah-ubah, amatlah menguntungkan untuk anda meluaskan pengalaman syarikat anda dan mengejar peluang-pe-luang baharu walaupun anda tidak berapa yakin akan peluang penawaran yang ada.

Mempelbagaikan perniagaan adalah satu strategi pertumbuhan yang sangat baik, kerana ia membolehkan anda mempunyai beberapa aliran pendapatan untuk mengisi lompang bermusim dan meningkatkan jualan dan margin keuntungan.

Perniagaan dalam talian yang ‘intrend’

Perniagaan dalam atau atas talian adalah sangat rancak di zaman Internet ini. Banyak cara yang boleh dilakukan untuk menjana pendapatan sampingan atau sepenuh masa dengan mudah melalui Internet. Di negara kita sendiri, sudah ramai usahawan muda yang berusia dalam lingkungan 20an terlibat dalam perniagaan talian.

1. Facebook

Facebook merupakan media sosial yang sangat popular. Hampir semua pengguna Internet mempunyai akaun Facebook. Selain berinteraksi dengan beratus atau beribu-ribu kawan melalui akaun peribadi, Newsfeed yang disajikan oleh Facebook juga merupakan elemen penting untuk pengguna di mana pengguna dapat mengetahui berita terkini mengenai perkara yang diminati melalui Newsfeed. Pengiklanan berbayar juga muncul di Newsfeed pengguna Facebook. Melalui taktik dan teknik yang betul, kita boleh menggunakan medium Facebook untuk menjana pendapatan tanpa perlu membayar. Sebagai contoh, kita boleh menjual terus kepada ribuan kawan kita di Facebook dengan memuat naikkan gambar iklan barang yang dijual di akaun Facebook peribadi kita dan ia akan muncul sebagai Newsfeed di din-ding Facebook rakan-rakan kita.

2. Instagram

Instagram adalah satu lagi medium sosial yang sangat popular pada masa ini. Kebanyakkan generasi muda belasan tahun hanya mempunyai akaun Instagram sebagai medium sosial mereka di talian. Ini kerana Instagram menumpukan kepada gambar daripada perkataan. Satu gambar boleh menggambarkan seribu perkataan dan satu video pula boleh mengambarkan sejuta perkataan. Kerana itulah generasi muda sangat tertarik dengan Instagram. Sekiranya anda ingin menjual di Instagram, penekanan gambar dan video yang cantik adalah sangat perlu supaya ranking gambar dan video tersebut naik dan menjadi tular di media sosial.

3. Amazon dan eBay

Anda juga boleh menjual barangan anda di Amazon atau eBay. Pasaran Amazon dan eBay adalah satu dunia dan pelanggan mereka melangkaui satu bilion pengguna Internet. Anda boleh membeli dengan harga yang rendah sekali dari Alibaba dan menjualnya di Amazon atau eBay.

Anda boleh membeli secara pukal dari Alibaba dan menyimpan stok anda dengan Amazon atau eBay. Mereka akan menghantarkan terus barangan tersebut kepada pelanggan anda setelah mendapat arahan dari anda. Dengan cara ini, anda tidak perlu memikirkan hal berkaitan gudang untuk penyimpanan stok anda. Anda juga boleh meminta Alibaba mencipta logo dan brand anda sendiri. Dengan ini, barang yang anda jual akan ada kelainan dan keistimewaan tersendiri.

4. Google

Google merupakan enjin pencari yang paling popular di Internet. Pengguna Internet menggunakan Google untuk mencari segala jenis maklumat dan dalam masa yang sama, Google akan mencadangkan syarikat anda sekiranya anda melanggani Google Adwords dan memilih kata kunci (keywords) yang berkaitan. Pengiklanan melalui Google adalah jauh lebih murah dan efektif berbanding cara tradisional seperti mengiklan di majalah dan lainnya.

Ini kerana penggunaan keywords membolehkan penapisan pencarian oleh robot Google untuk memastikan hanya mereka yang berminat dengan perkataan tertentu sahaja akan menyebabkan iklan syarikat anda muncul. – Agensi