Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembangkan perniagaan Brunei

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Lebih 120 orang terdiri daripada usahawan, pemimpin korporat dan wakil-wakil kerajaan telah menghadiri Forum Pembangunan Perniagaan Tempatan (LBD) bertemakan ‘How to Think Big in a Small Market’ yang berlangsung di Hotel Radisson, di sini, hari ini.

    Hadir bagi sama-sama mendengarkan forum berkenaan ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah.

    Forum tahunan itu bertujuan untuk mengembangkan perniagaan Brunei dengan mengasah ketajaman perniagaan para pengasas, pemilik dan pengurus atasan menerusi perkembangan kemahiran kepimpinan dan keusahawanan; perkongsian pengalaman, pengajaran dan pandangan; dan membolehkan mereka membina perhubungan baharu.

    Terdahulu, forum telah dimulakan dengan perbincangan antara Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe), Javed Ahmed; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof; dan ‘Convener’ Forum, Dato Timothy Ong mengenai subjek landskap perniagaan di Brunei dan soalan mengenai pemikiran perniagaan strategik bagi keadaan semasa pasaran dan ekonomi Brunei.

    Forum berkenaan diteruskan dengan perbincangan mengenai aspek utama dalam mengetuai dan mengurus perusahaan tempatan bagi meningkatkan peluang untuk berdaya tahan dan berkembang maju, serta perspektif mengenai pandangan, nasihat praktikal dan pemikiran untuk membina momentum perniagaan serta mengekalkannya.

    YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah turut hadir ke Forum LBD yang berlangsung di Hotel Radisson.
    Raj Kumar ketika menjelaskan mengenai ‘Blue Ocean Shift’.

    Setelah itu, topik mengenai membina perniagaan dengan tanpa modal dibincangkan oleh Pengasas dan Pengarah Urusan Azil Engineers yang berpangkalan di Singapura, Azman Manap dan dimudahcara oleh Jurulatih Utama Pusat Latihan Artikulasi, Stuart Lee.

    Dengan tiada wang, tiada pengetahuan dan pengalaman perniagaan, beliau berjaya membina perniagaan yang bukan sahaja menguntungkan tetapi terus berkembang menjadi sebuah syarikat yang mampan dalam industri pembinaan di Singapura dan Malaysia.

    Beliau telah menerbitkan dua buah buku mengenai keusahawanan yang mengiktiraf kemampuannya dalam menghadapi cabaran membina perniagaan yang berjaya.

    Forum kemudiannya diteruskan dengan perbincangan panel mengenai membina ketahanan perniagaan dan keusahawanan yang dibawakan oleh Pengarah Operasi Tasconi’s International, Syarifah Safinatul Najah binti Malai Haji Abdul Hamid; Pengasas Avantist Watches dan Pengarah Urusan Cuckoo International, Wong Kim Guan.

    Pada sesi petang, forum diteruskan dengan perbincangan mengenai mengambil risiko, terus menumpukan perhatian dan merebut peluang baharu yang dibawakan oleh pengilang dan usahawan fesyen Zarah Juan iaitu pengasas bagi jenama Zarah Juan dan Greenleaf Ecobags di Filipina.

    Dengan ekosistem yang dihasilkan oleh Zarah Juan, beliau memperkasa para pekerja/tukang kayu (artisan) untuk menghasilakan mata pencarian yang mampan menerusi bimbingannya. Usaha beliau membantu Filipina mendapat pujian serantau dan antarabangsa.

    Forum LBD diakhiri dengan perbincangan mengenai konsep ‘Blue Ocean Shift’ di Brunei yang dibawakan oleh pakar Blue Ocean iaitu Pegawai Eksekutif UCSI Blue Ocean Strategy Consulting, Malaysia, Raj Kumar.

    Beliau telah membantu merumuskan strategi ‘Blue Ocean’ untuk syarikat farmaseutikal terkemuka di dunia, bank terbesar di Asia, agensi media terbesar di Asia, sebuah institusi pendidikan terkemuka di Asia Tenggara dan projek pembangunan hartanah yang mega di rantau ini.

    Forum LBD Brunei yang kini dalam tahun ke-12, menyokong strategi kerajaan Brunei dalam pembangunan perniagaan tempatan dan kepelbagaian ekonomi.

    Ia dianjurkan oleh Asia Inc Forum dengan kerjasama Bank Baiduri selaku rakan kongsi utama, Borneo Bulletin dan Media Permata selaku rakan kongsi percetakan dan media digital dan MMW sebagai rakan kongsi kreatif.

    Forum berkenaan juga merupakan sebahagian daripada program dua hari yang merangkumi Bengkel LBD mengenai Blue Ocean Shift yang akan berlangsung esok (20 September) di Hotel Radisson.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda