Kembangkan produk tempatan sebagai tarikan pelancong

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Beberapa strategi telah dibuat ke arah memastikan sektor pelancongan mendapat sambutan bukan saja kepada pelancong luar tapi juga kepada pelancong dalam negara iaitu orang tempatan sendiri.

Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dalam berhadapan dengan pandemik COVID-19 ini, telah memberi fokus kepada pelancong domestik iaitu menggalakkan orang tempatan melancong di tempat sendiri.

Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong berkata, kementerian berkenaan telah melaksanakan beberapa strategi untuk memastikan produk tempatan dapat dikembangkan dan diperbaiki serta dipertingkatkan dari segi kebersihan dan perkhidmatan.

“KSSUP juga telah mengadakan lawatan ke seluruh daerah untuk memastikan produk tersebut bukan saja baik untuk masa ini malah ia juga sesuai untuk menerima pelancong pada masa akan datang, bila keadaan sudah kembali seperti biasa,” jelas Yang Berhormat Dato semasa sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Mengulas mengenai projek tahunan iaitu Festival Disember Brunei, beliau berkata, pihak kementerian juga telah membuat beberapa tinjauan dengan pengurus acara yang bergiat aktif dalam festival berkenaan.

“Untuk festival ini banyak yang berkeinginan menganjurkan pelbagai acara tapi dengan cara yang berlainan iaitu lebih kepada bercorak maya,” jelasnya.