Kembar lelaki ditemui mati dalam kereta

BLYTHEWOOD, S.C., 3 SEPT – Budak kembar lelaki berusia 20 bulan yang ditemui mati dalam sebuah kereta di tempat letak kereta pusat jagaan South Carolina mungkin berada dalam kenderaan SUV yang panas selama lebih sembilan jam, kata pihak berkuasa semalam.

Seorang ibu menemui budak kembar berkenaan di tempat duduk belakang kereta sejurus selepas tiba pada kira-kira 5:40 malam pada Rabu di Akademi Pembelajaran Awal Sunshine House di Lebuh Raya 21 Amerika Syarikat (AS) di pinggir bandar Columbia, Blythewood, menurut penyiasat.

Kembar Bryson dan Brayden McDaniel berkemungkinan telah berada dalam kenderaan SUV sejak pagi dan disyaki meninggal dunia akibat terdedah kepada suhu panas, kata Koroner Richland County, Nadia Rutherford pada sidang media. Ujian lanjut akan dilakukan dalam masa beberapa minggu akan datang untuk mengetepikan punca lain, kata beliau.

“Pasangan lelaki itu dijaga dengan baik dan berdaftar di pusat jagaan tersebut,” kata Rutherford. – AP