Kembar siam Bhutan jalani pembedahan

SYDNEY, 9 Nov – Pasangan kembar siam dari Bhutan, Nima dan Dawa hari ini memasuki bilik pembedahan bagi menjalani pembedahan untuk mengubah kehidupan mereka, bersama pasukan pembedahan terdiri daripada 18 orang ahli profesional yang dijangka terlibat dalam pembedahan selama lebih enam jam memisahkan kedua-dua anak damit perempuan itu.

Namun begitu, ketua pembedahan pediatrik di Hospital Royal Children di Melbourne, Dr Joe Crameri yang akan mengendalikan pembedahan itu berkata, sifat semula jadi yang menghubungkan kedua-dua anak damit berusia 15 bulan itu tidak jelas sepenuhnya dan pembedahan dijangka berterusan sehingga ke waktu malam.

“Kami masih tidak pasti berapa lama pembedahan dijalankan, namun realitinya adalah sehingga pembedahan bermula dan kami dapat melihat sepenuhnya apa yang menghubungkan kedua-dua anak damit itu. Kita tidak tahu berapa lama ia akan dijalankan,” katanya.

Nima dan Dawa adalah pasangan kembar yang mana badan mereka bertemu pada bahagian torso, tiba di Australia bersama ibu mereka Oktober lalu menerusi bantuan sebuah badan amal kanak-kanak.

Pasangan kembar itu diketahui berkongsi hati, namun pemeriksaan awal masih tidak jelas sekiranya mereka turut berkongsi bahagian saluran makanan, yang mungkin boleh menyukarkan pembedahan itu.

“Kami tahu bahagian saluran makanan bercampur-campur dan ia boleh dipisahkan sepenuhnya dan diletakkan kepada salah seorang mereka atau pasangan kembar itu boleh berkongsi saluran makanan dan kami perlu mencari jalan untuk membahagikannya,” kata Crameri.

“Salah satu manfaat yang kita ada ialah kita semua lahir dengan saluran makanan yang banyak dan anda boleh mengurangkannya.” – Xinhua