ASEAN merupakan sebuah akronim dari Association of Southeast Asian Nations iaitu bermaksud Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara.
Pertubuhan ASEAN dianggotai oleh 10 negara iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina, Brunei Darussalam, Vietnam, Myanmar, Laos dan Kemboja.
Pertubuhan itu ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 dibentuk bagi kepentingan negara-negara didalamnya seperti ekonomi, sosial, budaya dan lain-lain lagi.
Sempena ulang tahun ke-50 ASEAN tahun ini pelbagai rancangan telah diatur untuk menggalak para pelancong untuk meneroka ASEAN. Antaranya ialah kempen melawat ASEAN ‘Visit ASEAN@50: Golden Celebration Campaign’ yang turut merangkumi program untuk memperkenalkan ASEAN dari aspek pemakanan, perniagaan dan sosiobudaya.
Terletak di Kepulauan Borneo, Negara Brunei Darussalam merupakan sebuah negara yang memiliki keunikan budaya dan tradisi serta memiliki destinasi tarikan pelancong yang tersendiri.



Mengikut sejarah, nama Brunei diambil dari individu pertama yang meneroka sebuah kawasan yang berair dan dipenuhi dengan bekalan ikan sambil mengungkapkan ungkapan ‘baru nah!’ yang merujuk kepada makna kami telah menemuinya sehingga ia bertukar menjadi perkataan Brunei.
Salah satu keunikan Brunei Darussalam adalah Kampong Ayer di mana rumah-rumah dibina di atas air di sepanjang Sungai Brunei dan ia dipercayai telah wujud sejak 1,300 tahun lalu. Bukan sahaja ia sesuatu yang unik malah keindahan panorama yang ditampilkan juga membuatkan ia digelar sebagai Venice of the East.
Antara pencapaian kebanggaan Negara Brunei Darussalam adalah apabila Dayang Maziah Mahusin telah diberi penghormatan selaku atlet wanita pertama negara yang dihantar untuk menyertai Sukan Olimpik bagi kategori Larian 400 Meter Wanita di acara Sukan Olimpik London 2012.
Seni bina Khmer dipercayai telah wujud sejak era kegemilangan Angkor dan ia setentunya cukup membanggakan bagi Kemboja apabila berjaya mempertahankan reka bentuk bangunan moden dengan konsep tradisi sebagaimana yang dizahirkan pada Stadium Olimpik Phnom Penh, Dewan Persidangan Chaktomuk, Universiti Royal Phnom Penh dan Hotel Cambodiana di mana reka bentuk tersebut awalnya diasaskan oleh arkitek Kemboja yang mengikuti pengajian di Perancis, Van Moly bermula pada tahun 1953.
Menyedari akan spesies tenggiling dikategorikan antara spesies binatang terancam maka Pusat Rehabilitasi Tenggiling telah dibuka di Phnom Penh, Kemboja pada tahun 2012 dengan tujuan untuk memberi perlindungan kepada binatang itu daripada sebarang aktiviti penangkapan haram.
Penonton filem Ada Apa Dengan Cinta 2 setentunya berasa terpegun dengan latar lokasi filem yang menampilkan Gereja Ayam tersembunyi di kawasan Bukit Punthuk Setembuk, Magelang di mana ia menampilkan panorama indah menghala ke arah Candi Borobudur yang merupakan salah satu tapak bersejarah di Yogyakarta, Indonesia.
Pencinta buah durian harus singgah ke Medan, Utara Sumatera, Indonesia di mana terdapat sebuah gerai iaitu Durian Ucok yang beroperasi selama 24 jam dan menawarkan raja buah itu kepada para pengunjung.
Misteri masih menyelubungi lokasi bersejarah yang menampilkan binaan 331 balang yang diperbuat dari batu di Plain of Jars, Laos.



Terdapat kepercayaan yang mengatakan ia pernah digunakan sebagai tempat penyimpanan jasad manusia atau tempat pemanasan bahan cecair pada era Khoun Cheuang.
Keindahan Gua Konglor yang berukuran 7.5 kilometer di Perkampungan Konglor, Daerah Khounkham, Wilayah Khammuan jelas merupakan salah satu tarikan pelancong yang menarik di Laos.
Jika Sabah, Malaysia terkenal dengan keagungan Gunung Kinabalu, Sarawak, Malaysia pula terkenal dengan keindahan Taman Negara Gunung Gading yang diambil sempena dengan nama Puteri Gading di mana ia adalah kawasan terbaik bagi para pengunjung untuk mengambil peluang melihat bunga terbesar Rafflesia untuk berkembang.
Nasi adalah makanan asas bagi kebanyakan negara ASEAN dan proses tanaman padi merangkumi teknik, langkah, tabu dan legendanya boleh diketahui dengan mengunjungi Muzium Padi di Alor Setar, Kedah, Malaysia.
Seni pementasan drama Pyazat dianggap sebagai satu tradisi di Myanmar di mana ia dipentaskan di antara dua ke tiga jam. Pada kebiasaannya, ia cuba menyampaikan mesej positif dan moral kehidupan yang dipentaskan dengan gaya yang cukup menarik.
Chinlone merupakan sebuah sukan tradisi terkenal di Myanmar di mana gaya permainannya disertai oleh enam orang dalam satu pasukan dan setiap pemainnya harus melontar bola dengan menggunakan kaki, lutut atau kepala ketika berjalan mengelilingi bulatan sekaligus ia kelihatan seperti para pemain melakukan rentak gaya tari. Penilaian pula dilakukan berdasarkan kehebatan setiap peserta dalam satu pasukan yang harus bekerjasama untuk melontar dan menyambut setiap bola tersebut.
Bertubuh kecil dan bermata besar, kera hantu adalah antara spesies mamalia yang dapat disaksikan di Filipina. Salah satu keistimewaan binatang yang berukuran 8.5 sentimeter ke 15 sentimeter tinggi ini adalah apabila ia berupaya untuk memutarkan lehernya sehingga 180 darjah.
Mutiara Lao Tzu, salah satu mutiara yang cukup berharga di dunia adalah salah satu hasil pencarian di Lautan Filipina dan para pengunjung juga berpeluang untuk menyaksikan sendiri keindahan semulajadi mutiara itu.




Ia juga jelas membuktikan bahawa Lautan Filipina kaya dengan khazanah tersendiri termasuk mutiara yang cukup berharga.
Old Chang Kee, salah satu francais makanan segera dari Singapura yang berjaya mendapat pengiktirafan dari majalah Travel & Leisure, AS pada tahun 2012. Restoran itu cukup terkenal dengan menu snek ringan iaitu Karipap Rex yang dipercayai telah mula menjadi sajian warga Singapura sejak tahun 1956.
Bau koko boleh terhidu sekiranya pengunjung mengunjungi kawasan barat di Singapura di mana ia menempatkan dua kilang coklat utama iaitu Cadbury dan ADM Cocoa yang telah beroperasi sejak dua dekad lalu.
Memiliki berat seringan dua gram dan berukuran 29-33 milimeter panjang, Kelawar Craseonycteris thonglongyai adalah spesies mamalia terkecil yang boleh ditemui di dalam gua di sepanjang sungai di Wilayah Kanchanaburi, barat Thailand. Binatang yang mula ditemui pada tahun 1974 itu juga diancam oleh kepupusan.
Pasar Or Tor Kor, Thailand merupakan salah satu pasar yang terkenal di dunia di mana ia menawarkan begitu banyak hidangan makanan eksotik di samping hasil produk pertanian segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan. Kajian CNN juga telah menempatkan Pasar Or Tor Kor sebagai pasar terhebat di dunia di samping La Boqueria di Barcelona, Sepanyol, Pasar Ikan Tsukiji, Tokyo dan Pasar Tani Union Square, New York.
Ao Dai merupakan salah satu pakaian tradisi bagi wanita di Vietnam. Salah satu keistimewaan tradisi ini adalah apabila rekaan pakaian tradisi ini lebih kelihatan menarik dan cantik apabila ia dihasilkan oleh kaum lelaki dan 90 peratus daripada tukang jahit yang menghasilkannya adalah terdiri daripada kaum lelaki.
Salah satu rekaan yang melambangkan syiar Islam di Vietnam adalah Masjid Al-Noor di mana ia telah dibuka pada tahun 1890 berikutan daripada pengaruh kedatangan pedagang-pedagang India islam.
Bagi yang ingin meneroka keindahan alam sekitar terutama suasana laut yang tenang dan segar, para pengunjung pula harus mengambil peluang untuk pergi ke Teluk Van Phong yang terletak 60 kilometer dari bandaraya Nha Trang di wilayah Khánh Hòa.
Kawasan perairan tersebut terdiri daripada tiga buah pulau di mana ia memiliki keadaan air yang biru dan jernih serta sesuai untuk dijadikan sebagai lokasi untuk memancing.