KUCHING, 25 SEPT – Rakyat Bumi Kenyalang khususnya di luar bandar telah berpeluang menikmati pelbagai perkhidmatan disediakan secara terus oleh agensi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sepanjang program Kembara KASIH KPWKM 2024 (Kembara KASIH) berlangsung 14 hingga 21 Sept lepas.
Menelusuri lapan daerah membabitkan 1,456 kilometer, bermula dari selatan Sarawak iaitu Kuching, seterusnya ke Sibu, Kapit, Bintulu, Sibuti, Miri, Limbang dan penghujung utara negeri, Lawas, kembara berkenaan memanfaatkan 12,000 orang yang membanjiri kaunter agensi di setiap lokasi hentian.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menyifatkan program yang julung kali diadakan itu sebagai satu kejayaan dengan sebanyak 27 aktiviti diketengahkan sepanjang penganjurannya.
“Program Saringan Kanser Serviks HPV DNA dan Ujian Mammogram yang dianjurkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berjaya menarik lebih daripada 530 individu untuk mendapatkan perkhidmatan sewaktu kembara.
“Pencapaian ini merupakan satu kejayaan, kerana satu daripada matlamat utama program kembara di Sarawak adalah untuk meningkatkan penyertaan memandangkan jumlah peserta sebelum ini masih rendah,” katanya. – Bernama