Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Kembara kreativiti: Mengenali seni origami

    Oleh Nurdiyanah R.

    Sambil memegang bahan kertas-kertas berwarna-warni, jari-jemari anak-anak kecil ini bergerak mengikut rentak arahan yang dikongsikan oleh insan-insan di sekeliling mereka sehingga mampu membina pelbagai karakter kartun, haiwan, bunga-bungaan dan sebagainya.

    Begitulah keterujaan dan keriangan yang jelas terpancar pada wajah kira-kira seramai 60 orang murid di Sekolah Rendah Sungai Siamas semasa berpeluang menyertai Bengkel Origami (kraf kertas Jepun) anjuran Kedutaan Jepun yang berlangsung di dewan sekolah tersebut, baru-baru ini.

    “Inilah kali pertama saya mengenali aktiviti seni ini dan pastinya ia amat menyeronokkan lebih-lebih lagi dapat berkumpul bersama kawan-kawan yang lain.

    “Mula-mula memang sukar tetapi buat kali kedua saya mencuba mendengar dengan teliti apa yang diajarkan kepada kami,” itulah antara yang dikongsikan oleh salah seorang murid sekolah berkenaan, Awang Musawwir bin Hamidun sambil menunjukkan rekaan seni origami yang berjaya dihasilkannya kepada penulis.

    “Saya berjaya menghasilkan satu seni dengan hanya lipatan sekeping kertas kecil berwarna jingga dan kuning ini berubah bentuk menyerupai wajah seekor arnab ditambah pula dengan sedikit hiasan lukisan di mata, hidung dan mulutnya menggunakan pen warna,” ujarnya.

    Dayang Nur Asnawati merakamkan kesyuku-ran dengan adanya bengkel sedemikian bukan hanya menambah pengetahuan mereka tentang salah satu budaya Jepun sebagai sebuah aktiviti kokurikulum namun ia turut mencetuskan nilai-nilai positif antara guru dan murid.
    Bengkel yang melibatkan murid-murid Tahun 3 hingga 5 berkenaan telah dikendalikan oleh Awang Fauzan selaku salah seorang kakitangan kedutaan tersebut.
    Awang Musawwir sambil menunjukkan rekaan seni origami yang berjaya dihasilkannya kepada penulis.
    Kertas berwarna-warni merupakan bahan asas dalam seni origami sehingga mampu dilipat menjadi rekaan yang menarik.
    Sekolah Rendah Sungai Siamas terletak di Kampung Sungai Siamas, Daerah Brunei dan Muara.
    TYT Maeda Toru dan kakitangan Kedutaan Jepun turut merakamkan kenangan bersama guru dan murid Sekolah Rendah Sungai Siamas yang terlibat semasa berakhirnya Bengkel Origami, baru-baru ini.

    Awang Musawwir yang kini berada di Tahun 4 turut merakamkan kegembiraan untuk mengongsikan pengalaman seni origami yang baharu sahaja dipelajarinya ini kepada ahli keluarganya nanti.

    Sehubungan itu, turut hadir bagi menyertai sesi tunjuk ajar semasa berlangsungnya bengkel berkenaan ialah Duta Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru bersama kakitangan kedutaan berkenaan.

    Semasa menyampaikan ucapan alu-aluan ringkas, TYT Maeda Toru antaranya merakamkan kegembiraan kerana diberi peluang menganjurkan bengkel berkenaan bagi sama-sama berkongsi pengetahuan dan kemahiran salah satu seni dan budaya tradisional Jepun khususnya origami kepada golongan murid di negara ini.

    Bengkel yang melibatkan murid-murid Tahun 3, 4 dan 5 itu telah dikendalikan oleh Awang Fauzan selaku kakitangan kedutaan.

    Beliau mengetengahkan teknik-teknik asas yang terperinci bagi menghasilkan beberapa reka bentuk penuh kreatif seperti kartun Pokemon, katak, kupu-kupu, bunga dan sebagainya.

    Seni memupuk nilai-nilai positif

    Sehubungan itu, Guru Besar Sekolah Rendah Sungai Siamas, Dayang Nur Asnawati binti Haji Mohd Yassin turut merakamkan kesyukuran dengan adanya bengkel sedemikian.

    Ia bukan sahaja dapat menambah pengetahuan mereka tentang salah satu budaya Jepun sebagai sebuah aktiviti ko-kurikulum sekolah bahkan murid-murid juga mampu menerokai pelbagai kemahiran seni kreatif sehingga mampu menghasilkan sebuah seni dengan hanya sekeping kertas membentuk sesuatu yang indah dipandang mata dengan nilai-nilai manfaat yang tersendiri.

    Hasil reka bentuk yang dicipta oleh murid-murid tersebut dijadikan sebagai perhiasaan dalam kelas masing-masing.

    Tambahnya lagi, aktiviti sebegini juga secara tidak langsung dapat memupuk semangat berpasukan dalam kalangan murid-murid di saat mereka saling berusaha menyelesaikan reka bentuk origami tersendiri dengan saling tolong-menolong antara satu sama lain.

    “Pihak sekolah dengan penuh harapan yang tulus ingin menerapkan pengetahuan asas seni origami yang dikongsikan oleh Kedutaan Jepun ini dalam mata pelajaran Lukisan di masa akan datang di samping dapat mengukuhkan lagi kemahiran yang sedia ada dalam kalangan murid dari semasa ke semasa,” ujar Dayang Nur Asnawati.

    Menyusur sejarah origami

    Mengimbas kembali pembacaan penulis, beberapa hari lalu, bahawa perkataan ‘ori’ dalam bahasa Jepun bererti lipat dan ‘gami’ pula bererti kertas. Ia dipercayai wujud daripada rakyat Tiongkok yang menghasilkan kertas daripada potongan kecil tumbuhan dan kain.

    Lalu berkembang ke Sepanyol dibawa oleh orang-orang Arab, sehinggalah diperkenalkan di Jepun oleh seorang penganut Buddha dari Semenanjung Korea. Seni ini kian berkembang di Jepun dari zaman Muromachi (1333-1568), Edo (1603-1868) sampai ke hari ini.

    Pada masa yang sama, sekitar abad ke-16, kegiatan origami berkembang di Sepanyol dan Eropah.

    Di zaman dahulu, ia hanya terbatas kepada karakter bangau dan pajarita (burung kecil yang dibentuk daripada kertas). Namun kemunculan seorang penggiat origami, Akira Yoshizawa (1911-2005) telah membawa perubahan besar yang telah memecahkan tradisi tersebut dengan mencipta watak-watak baru origami.

    Kini, penggiat origami lebih kreatif, dengan penggemar hobi yang semakin luas di seluruh dunia, bermula daripada seorang kanak-kanak, remaja, ibu, suri rumah, ahli terapi, seniman, dan sebagainya.

    Ia bukan lagi hak milik individu, atau sekumpulan masyarakat tetapi kesenian yang diwarisi dan dibudayakan di seluruh komuniti dengan kreativiti dan inovasi mereka tersendiri.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 remaja ditahan dalam serbuan antikeganasan

    SYDNEY, 24 APRIL - Polis Australia memberkas tujuh remaja dalam serbuan antikeganasan hari ini, dengan dakwaan rangkaian itu mungkin merancang serangan dan menimbulkan ‘risiko...