ALAMI sebuah kisah pengembaraan yang cukup menarik dengan menampilkan karakter-karakter yang comel dalam Miitopia, sebuah permainan video yang menerapkan elemen RPG (Role-Playing Games) yang telah diusahakan oleh Nintendo untuk pelantar Nintendo 3DS.
Sebagaimana dalam kebanyakan permainan video RPG lain yang tetap menampilkan elemen kehidupan pada karakter yang dimainkan, dalam pengembaraan Miitopia ini anda terlebih dahulu memilih kelas karakter yang dimainkan di mana ia terdiri daripada pahlwan, ahli sihir, agamawan, pencuri, penyanyi, kucing, cef, tentera, saintis, puteri, bunga, vampire dan juga elf.
Corak kehidupan sebaiknya
Sebaik sahaja anda selesai memilih kelas karakter, pemain akan mengawal satu avatar Mii yang memiliki penampilan yang tersendiri sebagaimana dengan kelas karakter yang telah dipilih dan para pemain harus bijak dalam mengawal avatar tersebut sekali gus mencorak dan mengembangkan kehidupan avatar itu.
Sebagaimana dengan beberapa permainan RPG keluaran Nintendo lain seperti Tomodachi Life, setiap Mii yang memiliki karakternya yang tersendiri juga wajar untuk menjalinkan perhubungan yang baik dengan setiap karakter yang ditemui di sepanjang pengembaraan yang dilalui.
Sesuatu perkara yang buruk setentunya akan berlaku tatkala terdapat perselisihan berlaku di antara karakter utama Mii yang dikawal oleh para pemain dengan karakter lain di mana ia boleh mencetuskan persengketaan di antara karakter Mii itu dengan karakter-karakter lain yang ditemui di sepanjang kembara yang dilalui.
Manakala bagi sebarang perhubungan baik yang dijalinkan oleh karakter yang dikawal oleh pemain dalam permainan video ini pula akan memberi kelebihan kepada para pemain di mana karakter-karakter yang telah menjadi sahabat itu dapat membantu pemain dalam menentang sebarang penjahat terutama antagonis utama dalam permainan video ini iaitu Dark Lord.
Bentuk kumpulan penyerang
Para pemain juga boleh membentuk satu kumpulan sebelum melancarkan sebarang aksi pertarungan sekali gus ia setentunya akan memudahkan lagi sesebuah misi berat itu untuk diselesaikan.
Lebih menarik lagi apabila pemain juga berpeluang untuk menggunakan kuasa istimewa yang disebut sebagai Mana di mana ia tergantung kepada karakter pilihan para pemain.
Sekiranya tahap kesihatan para pemain semakin berkurangan di sepanjang kembara yang dilalui maka para pemain juga boleh menggunakan garam yang ditemui di sepanjang pengembaraan untuk segera memulihkan tahap kesihatan pada setiap karakter dan peserta dalam kumpulan pertarungan yang dikawal oleh para pemain.
Namun bagi mengembalikan tahap kesihatan karakter yang dimainkan, para pemain juga boleh mengambil langkah untuk merehatkan para karakter tersebut selama semalaman di mana ia juga secara tidak langsung turut mengeratkan perhubungan di antara karakter-karakter Mii yang dimainkan.
Di samping itu, para pemain juga berpeluang untuk membekalkan pemain dengan hidangan istimewa yang tertentu di mana ia berperanan untuk memberikan kelebihan yang tertentu seperti Butterflu Honey meningkatkan kuasa serangan, Mushroom Saute, Cloudyfloss dan Slime Jelly membantu meningkatkan tahap kesihatan serta Banshee Tears yang membantu untuk meningkatkan kuasa sihir.
Lebih menarik lagi apabila pengembaraan yang dilalui ini juga turut diserikan dengan Amiibo yang terdiri daripada karakter popular seperti Mario, Luigi, Peach, Daisy, Yoshi, Rosalina, Toad, Bowser, Donkey Kong, Link, Zelda, Isabelle, Kirby dan banyak lagi.
Lalu sekiranya pemain berhasrat untuk mengalami sendiri keseronokan pengembaraan karakter Mii yang comel ini jangan terlepas untuk mencubanya sendiri dalam Miitopia yang dikeluarkan untuk pelantar Nintendo 3DS.