Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembara menghayati keindahan wilayah Mexico

    CANCUN – Keadaan yang selamat dan menu makanan yang lazat telah menjadikan Mexico sebagai salah satu destinasi percutian popular.

    Di samping itu, kembara ke Mexico turut menjanjikan pelbagai tarikan seperti pantai yang bersih, bandar lama peninggalan era penjajahan, struktur binaan peninggalan Mayan kuno dan pelbagai panorama yang indah.

    Kembara melalui perjalanan darat sejauh 1,000 batu juga boleh dilakukan melalui laluan di antara Playa del Carmen di Caribbean menuju ke Campeche di Gulf Coast Mexico.

    Kadar sewa kereta yang dilengkapi dengan insurans juga ditawarkan pada harga yang rendah. Selain itu, sistem jalan raya di Cancun juga dibahagikan kepada dua iaitu secara percuma ataupun turut mengenakan caj tol jalan raya pada kadar yang rendah.

    Hayati peninggalan sejarah

    Antara destinasi terawal dalam kembara perjalanan ini adalah Petit Lafuitte yang merupakan sebuah penginapan terletak di luar Playa del Carmen yang berjaya menarik ramai para pelancong dari Amerika Syarikat.

    Aksi menarik spesies flamingo merah jambu dapat disaksikan di sekitar taman berdekatan Yucatan. - AP
    Aksi menarik spesies flamingo merah jambu dapat disaksikan di sekitar taman berdekatan Yucatan. – AP

    Berdekatan dengan tempat penginapan itu terdapat kawasan pantai yang sangat bersih dan menjanjikan panorama yang menarik sekaligus dapat memberikan rasa ketenangan dalam diri pelancong.

    Kembara akan diteruskan lagi menuju ke Campeche, yang merupakan sebuah bandar kecil dan memiliki grid jalan yang berwarna-warni.

    Menariknya, binaan dinding berbentuk heksagon yang tetap utuh dan memiliki rekaan yang sangat unik dan menarik tetap dapat disaksikan sehingga kini.

    Antara peninggalan sejarah yang tetap berjaya menarik perhatian pelancong adalah Edzna yang merupakan tapak bersejarah peninggalan era Mayan bertarikh kurun ke-7 SM yang tetap dipelihara sehingga kini.

    Rekaan binaan tersebut memiliki ketinggian yang mencecah sehingga 120 kaki atau bersamaan dengan ketinggian bangunan yang memiliki lima tingkat. Iguana merupakan antara binatang liar yang dapat disaksikan di sekitar kawasan tersebut.

    Nikmati keindahan Merida

    Perjalanan melalui jalan darat itu tidak akan lengkap tanpa singgah ke bandar Merida, ibu kota kepada Yucata yang sangat terkenal dengan pelbagai sajian menu makanan yang sangat lazat pada kadar harga yang berpatutan.

    Pada dasarnya, Merida merupakan sebuah kawasan pusat bandar yang lebih mementingkan konsep kebudayaan.

    Ia seringkali berjaya menarik kalangan pelancong yang datang dari Amerika dan Kanada. Rata-rata bangunan peninggalan sejarah masih kelihatan tetap utuh berdiri sehingga ke hari ini bahkan terdapat juga beberapa bangunan yang dijadikan sebagai premis kedai seperti Starbucks di kawasan tersebut yang dibuka daripada bangunan yang telah dibina sewaktu era revolusi Mexico.

    Uxmal, salah satu peninggalan sejarah di kota Merida. - AP
    Uxmal, salah satu peninggalan sejarah di kota Merida. – AP

    m14 D_100217

    Para pengunjung juga berpeluang untuk menaiki Caleche yang merupakan perkhidmatan kereta kuda yang ditawarkan selama sejam untuk menerokai keindahan bandaraya Merida.

    Terdapat juga beberapa peninggalan sejarah dari era Mayan yang kekal terus dipelihara di Merida dan dapat disaksikan sehingga ke hari ini iaitu Celestun dan Uxmal.

    Suasana ceria setentunya dapat dirasakan ketika berada di sebuah kawasan yang berdekatan dengan Celestun iaitu sebuah taman yang dipenuhi dengan ribuan flamingo berwarna merah jambu.

    Menariknya, anda boleh menyaksikan sendiri setiap aksi terbangan dan pendaratan spesies burung flamingo itu tidak kira di darat mahupun sedang sibuk menangkap ikan di dalam tasik tanpa bantuan alat teropong.

    Sementara kompleks Uxmal pula turut dilengkapi dengan struktur unik termasuk Istana Gabenor, Quadrangle yang memiliki dekorasi dinding yang sangat menarik dan Pyramid of Magician yang memilliki rekaan yang sangat unik berbanding piramid biasa.

    Masakan Mexico

    Antara keistimewaan dalam kebanyakan menu masakan Mexico adalah sajian ceviche yang terdiri daripada sajian ikan segar yang dimasak bersama dengan bawang putih dan sos cili tanpa sebarang kentang atau jagung.

    Pada sebelah malam pula, sajian pilihan popular adalah crepe yang memiliki inti terdiri daripada sapuan keju ataupun nutella.

    Manakala, huevos motulenos yang terdiri daripada telur dimasak bersama dengan kacang merah, keju dan tortilla bersama sos cili pula menjadi menu pilihan untuk sarapan pagi.

    Perkara penting yang wajar untuk diingati kepada para bakal pengunjung adalah untuk memilih pakaian yang berlengan panjang dan membawa semburan penghalau serangga seperti nyamuk memandangkan Mexico tersenarai sebagai negara yang diancam oleh nyamuk Zika. –AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda