Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Kembara seluruh dunia sebar kesedaran alam

    MALAYSIA – Kebanyakan orang akan mengaitkan persaraan dengan kehidupan yang tenang dan lebih damai di rumah.

    Namun, berbeza pula dengan bekas pengurus penyelenggaraan dan pengecas elektrik, Katiravan Subarayan, di mana pada usia 61 tahun, selepas hanya setahun bersara lelaki itu memulakan salah satu pengembaraan terhebat dalam hidupnya iaitu perjalanan solo mengelilingi dunia dengan motosikal.

    Pengembaraan itu lebih daripada sekadar perjalanan bersiar-siar kerana pengembara itu merancang perjalanan globalnya untuk tujuan yang baik iaitu meningkatkan kesedaran dan menggalakkan usaha ke arah alam sekitar dan menentang pemanasan global serta perubahan iklim.

    Katiravan tidak asing dengan perjalanan motosikal yang hebat. Pada 2018, beliau memulakan perjalanan solo selama 64 hari melalui tujuh negara Asia iaitu Thailand, Myanmar, India, Bhutan, Nepal, Pakistan dan Bangladesh.

    Perjalanan itu, katanya, merupakan salah satu pengalaman terbaik dalam hidupnya, dengan salah satu kenangan kegemarannya ialah penanaman dua pokok neem di Mandi Dabwali di sempadan Punjab-Haryana di India.

    Katiravan semasa berada di Nepal ketika penggembaraannya pada tahun 2018. – ANN/The Star
    Katiravan bergambar bersama penunggang basikal yang ditemui semasa perjalanannya di Khardung La. – ANN/The Star
    Setiap penggembaraan, Katiravan akan membawa bendera Malaysia bersamanya. – ANN/The Star

    “Kita perlu melakukan sesuatu tentang bumi. Keadaan berubah. Kita menebang hutan dan gunung ais mencair. Kita mungkin masih baik-baik saja, tetapi jika kita meneruskan apa yang kita lakukan, anak-anak kita akan menderita.

    “Seseorang perlu membuka mata kita terhadap apa yang dilakukan terhadap alam sekitar,” kata Katiravan, yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak.

    “Saya melakukan ini untuk meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar dan pemanasan global. Ini adalah perjalanan terbesar yang pernah saya lakukan. Saya agak gementar, tetapi dengan izin Tuhan, saya percaya ia boleh dilakukan.”

    Alam semula jadi sentiasa dekat di hati Katiravan. Dibesarkan di sebuah estet di Bukit Asahan, Melaka, dia diajar mencintai alam sekitar sejak kecil.

    “Ayah saya selalu memberitahu saya lebih banyak pokok yang awda ada, lebih banyak sayur-sayuran yang awda ada, dan bagaimana kehijauan baik untuk mata awda! Dia membuat saya sangat bersemangat untuk menanam pokok, yang banyak membantu bumi ini dan menghentikan pemanasan global. Satu pokok boleh menyerap sehingga satu tan karbon dioksida sepanjang hayatnya,” kongsi Katiravan.

    Katiravan akan memulakan perjalanannya pada 1 Januari tahun depan, berlepas dari sebuah kuil di Batu Caves, Selangor. Dia akan menunggang ke Singapura dan kemudian menghantar motosikalnya melalui pengangkutan laut ke Indonesia. Dari sana, dia pergi ke Timor Leste, kemudian ke Australia dan New Zealand.

    Katiravan kemudiannya akan pergi ke Korea Selatan dan Jepun sebelum menunggang motosikal melalui Rusia, Mongolia dan kira-kira 41 negara di Eropah. Selepas itu, dia pergi ke Maghribi dan Kanada, Amerika Syarikat, Alaska, Amerika Tengah, Amerika Selatan, Afrika Utara dan Timur Tengah, dan Asia Tengah sebelum kembali ke Asia Tenggara dan pulang ke Malaysia.

    Katiravan akan menunggang motosikal melalui semua laluan darat utama dan menghantar motosikalnya melalui pengangkutan udara dan laut apabila tiba masanya untuk menyeberangi lautan. Keseluruhan perjalanan itu meliputi kira-kira 110,000km hingga 120,000km dan dianggarkan mengambil masa setahun dan tujuh hingga lapan bulan.

    Secara rasmi, Katiravan merancang untuk mengembara melalui kira-kira 106 negara.

    Jumlah akhir beliau, bagaimanapun, mungkin lebih tinggi, bergantung pada sama ada sekatan perjalanan tertentu yang sedang dilaksanakan telah ditarik balik. Sebagai contoh, dia akan dapat melawat Filipina jika perkhidmatan feri ke sana dari Sabah, yang pada masa ini tidak tersedia, akan disambung semula kemudian. Tempat yang dia paling teruja nak tengok? Luxembourg, yang dia gemari semasa lawatan sebelum ini.

    Katiravan akan menunggang motosikal BMW R 1200cc GSA yang dinamakannya Parameswara. Ia adalah motosikal yang boleh dipercayai yang membawanya melalui pengembaraan Asianya. Motosikal itu, yang dibelinya pada 2017, dilengkapi dengan pemanas tangan, ruang untuk peranti GPS, dan fungsi auto-cruise. Tayar tanpa tiubnya telah diimport dari Jerman, dan tangki 30 liternya cukup untuk perjalanan sejauh 600km.

    Topi keledarnya juga telah dilengkapi dengan pembesar suara dan mikrofon, membolehkan Katiravan mendengar GPSnya, menerima panggilan telefon, serta mendengar muzik.

    Motosikalnya juga sebelum ini telah diuji dan disahkan berada dalam had pelepasan karbon, memastikan perjalanan yang mesra alam.

    Katiravan akan menunggang motosikal selama kira-kira lapan hingga sembilan jam sehari, kemudian kebanyakannya berehat pada waktu malam di hotel, asrama, rumah tamu atau apa sahaja yang dia temui. Dia juga bercadang untuk berkhemah di negara yang membenarkannya. Ke mana sahaja dia pergi, Katiravan juga akan membawa bendera Malaysia bersamanya. Dia merancang untuk bercakap tentang alam sekitar dengan penduduk di setiap negara yang dilawatinya dan meningkatkan kesedaran melalui acara seperti penanaman pokok.

    Ditanya mengenai cabaran, Katiravan menyebut tentang halangan bahasa di negara asing. Dia juga bimbang tentang keperluan imigresen di lintasan sempadan, yang kadangkala boleh menjadi perkara rumit.

    “Saya telah membuat semua persiapan yang diperlukan untuk memastikan isteri saya dijaga ketika saya dalam perjalanan. Tetapi kadang-kadang, jika awda ingin memperoleh sesuatu, awda perlu meninggalkan sesuatu,” kata Katiravan.

    “Mungkinkah ada perkara berlaku kepada saya dalam perjalanan saya? Sudah tentu. Saya boleh jatuh sakit, awda tidak pernah tahu apa yang boleh berlaku. Tetapi awda tidak boleh mengharapkan semuanya berjalan secara positif. Tetapi awda perlu membuat apa sahaja persiapan yang boleh, dan percaya kepada Tuhan atas segala-gala yang akan berlaku kepada awda.”

    Setentunya, Katiravan tidak melakukan ini sepenuhnya sendirian, dia disokong oleh ahli kelab motosikalnya, Galaxy Bikers, yang telah menghubungkannya dengan pelbagai orang untuk membantunya dengan ceramah hijaunya di luar negara.

    Dia juga sedang mencari penaja berpotensi, kerana keseluruhan perjalanan dijangka menelan belanja kira-kira RM600,000.

    Katiravan pernah mempunyai jumlah itu dengan menjual salah satu hartanahnya untuk mencapainya. Malangnya, ekonomi dan ringgit Malaysia yang lemah mengakibatkan kemerosotan dalam keseluruhan dananya.

    Oleh itu, Katiravan sedang mencari orang yang mungkin berminat untuk membantunya menyebarkan mesej alam sekitarnya, dan nama Malaysia di seluruh dunia.

    Sementara itu, hanya tinggal kira-kira dua bulan lagi untuk memulakan perjalanannya, dan Katiravan sedang membuat semua persiapan yang diperlukan.

    Dia menghabiskan lapan hingga sembilan jam sehari meneliti laluan dan sambungan antarabangsa, berjoging serta bersenam secara tetap untuk memastikan dia berada dalam keadaan sihat. Ia pastinya akan menjadi perjalanan yang panjang dan mencabar, tetapi Katiravan teruja dengannya. Perkara yang paling penting dalam perjalanan seperti ini, katanya, adalah untuk bersedia seberapa banyak yang awda boleh, dan yakin boleh melakukannya.

    “Ia tidak akan mudah, melakukan ini dengan motosikal. Awda terdedah kepada semua cuaca seperti panas, hujan dan sejuk. Tetapi saya ingin menunjukkan kepada orang ramai bahawa ini boleh dilakukan. Jika saya boleh melakukan ini, pada usia ini, maka sesiapa pun boleh. Dan saya berharap untuk terus menyebarkan mesej saya ke seluruh dunia untuk mencintai bumi kita,” katanya. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...