Kemboja batalkan Festival Kematian

PHNOM PENH, 24 SEPT – Kemboja hari ini membatalkan acara tahunan ‘Festival Kematian’ yang mana penganut Buddha memberi penghormatan kepada saudara-mara yang meninggal dunia, susulan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan sami di ibu negara itu.

Penganut Buddha di seluruh Kemboja mengunjungi kuil ketika festival Pchum Ben yang berlangsung selama dua minggu untuk berdoa dan memberikan makanan kepada roh nenek moyang mereka.

Perayaan bagi tahun ini bermula pada Selasa lalu, namun ia akan berakhir pada hujung minggu ini selepas hampir 50 sami Buddha disahkan positif COVID-19 dan pihak berkuasa bertindak menutup kuil di Phnom Penh.

“Pembatalan festival itu wajar dibuat bagi mengawal penularan COVID-19… dalam keadaan Kemboja merancang pembukaan semula sekolah dan membuka semula negara,” kata Perdana Menteri, Hun Sen, dalam kenyataan kelmarin.

Kemboja berusaha untuk mengelakkan penularan secara meluas virus berkenaan sejak tahun lalu namun, peningkatan terus dicatatkan dengan lebih daripada 105,000 kes dengan hampir 2,000 kematian direkodkan.

Bagaimanapun, kadar vaksinasi di negara itu mencatatkan peningkatan dengan Kementerian Kesihatannya memberitahu 98 peratus populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos. – AFP

Orang ramai menyumbangkan makanan dan wang kepada sami Buddha semasa festival Pchum Ben (Festival Kematian) di luar sebuah kuil di Phnom Penh, 24 September meskipun pihak berkuasa menghentikan sambutan selepas jangkitan dalam kalangan sami di ibu negara. – AFP