Kemboja benarkan sekolah rendah, tadika dibuka semula

PHNOM PENH, 22 OKT -Kementerian Pendidikan Kemboja hari ini memberikan lampu hijau kepada pembukaan sekolah rendah dan tadika di kawasan di mana COVID-19 terkawal, selepas kebanyakan sasaran populasinya diinokulasi, menurut laporan KhmerTimes.

Menteri Pendidikan Hang Chuon Naron dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa guru-guru dan pelajar yang divaksinasi penuh diberikan keutamaan untuk kembali ke sesi persekolahan bersemuka, manakala guru yang berusia lebih 50 tahun, perlu terus mengajar secara online.

Menurutnya, sekolah-sekolah perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) boleh mula dibuka pada 1 November.

“Jumlah pelajar dalam kelas mesti dihadkan daripada 15 sehingga 20 orang dan penjarakan fizikal mesti dikekalkan,” katanya, menambah bahawa penjualan snek atau makanan dan bermain sukan di sekolah adalah dilarang.

Menteri mengatakan langkah terkini itu dilaksanakan selepas negara Asia Tenggara itu mencapai kadar vaksinasi COVID-19 yang tinggi dan menyaksikan penurunan signifikan kes-kes baharu dalam masa beberapa bulan kebelakangan ini.

Sebahagian sekolah rendah dan sepenuhnya bagi sekolah menengah serta universiti sudah pun dibuka semula sejak bulan lalu. – Xinhua