PHNOM PENH, 2 NOV – Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen bersetuju untuk menghantar anggota pengesan periuk api bagi membantu melatih warga Ukraine untuk membersihkan periuk api yang ditanam oleh tentera Rusia, menurut Kementerian Luar hari ini.
Hun Sen memberikan komitmen untuk menghantar pelatih, dengan kerjasama bersama Jepun, semasa perbincangan menerusi telefon bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky kelmarin, menurut kenyataan kementerian tersebut.
Kemboja menjadi negara yang paling banyak ditanam periuk api di dunia semasa peperangan hampir tiga dekad yang berakhir pada 1998, memberikan risiko besar kepada orang awam, terutama di kawasan pedalaman.
Sejak itu, sebahagian besar periuk api dan senjata lain yang tidak meletup telah dibuang dan dimusnahkan, sekali gus mengurangkan jumlah kematian.
Sejak beberapa dekad kebelakangan, ribuan telah dihantar di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk bertugas di Afrika dan di Timur Tengah.
Heng Ratana, Ketua Pengarah Pusat Tindakan Periuk Api Kemboja, berkata menerusi Facebook selepas konsultasi bersama rakan sejawat dari Jepun, agensinya akan menghantar pasukan pertama ke Ukraine pada awal Disember, dan pasukan kedua akan dikerah pada suku pertama tahun hadapan.
Zelensky mengalu-alukan tawaran tersebut, dan dia bersama Hun Sen bersetuju untuk melantik duta-duta ke negara masing-masing, tambah kenyataan dari kementerian.
Beberapa buah negara, termasuk Amerika Syarikat dan Jerman, sudah memberikan bantuan kepada Ukraine untuk mengesan periuk api. – AP