Kemboja hos ALA ke-42

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Mesyuarat Majlis Tadbir Persatuan Undang-undang ASEAN (ALA) ke-42 dihoskan oleh ALA Kemboja berlangsung secara persidangan video baru-baru ini.

Delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Peguam Negara, Yang Berhormat Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa selaku ketua Jawatankuasa Kebangsaan ALA Negara Brunei Darussalam. Delegasi merangkumi para pegawai kanan Pejabat Peguam Negara, ahli badan kehakiman, pengamal undang-undang swasta dan wakil dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). Hadir mempengerusikan mesyuarat ialah Pengerusi ALA Kemboja, Ly Chantola dan turut dihadiri oleh Presiden ALA, Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon, dan Setiausaha Agung ALA, Hakim Paul Quan.

Mesyuarat bersidang setiap tahun itu turut dihadiri oleh para ketua hakim negara, hakim mahkamah agung, peguam negara, ahli akademik undang-undang, pengamal undang-undang dan pegawai undang-undang kerajaan yang dilantik jawatankuasa setiap negara.

Ia membincangkan perkara-perkara berkaitan dasar, pemanduan persatuan, pelantikan ALA, agenda sesi perhimpunan agung dan mempertimbangkan laporan atau kerja yang dikemukakan.

Pada mesyuarat itu, ahli mempertimbangkan dan bersetuju supaya tempoh jawatan presiden dan setiausaha agung ALA sekarang dilanjutkan sehingga Perhimpunan Undang-undang ASEAN ke-14 yang akan bersidang di Malaysia pada 2023 serta beberapa perkara lain, Pelan Kerja Institut Undang-undang 2021 dan 2022, Garis Panduan ALA mengenai Amalan Terbaik Penguatkuasaan Anugerah Timbang Tara dalam ASEAN, dan laporan mengenai kerja-kerja Jawatankuasa Tetap ALA.

Di samping itu, ia juga mengesahkan beberapa inisiatif baharu yang telah dikemukakan oleh Jawatankuasa Tetap ALA termasuk penubuhan Pusat Undang-undang ASEAN, tempat kerja maya, pembinaan kesedaran mengenai undang-undang ASEAN dan pembangunan peguam ASEAN.

Mesyuarat berkenaan akan kembali bersidang pada tahun 2022 yang mana akan dihoskan oleh ALA Indonesia.

Yang Berhormat Haji Ahmad bersama delegasi lain pada mesyuarat ALA ke-42 yang berlangsung secara maya baru-baru ini.