Kemboja imunisasi kanak-kanak seawal 6 tahun

PHNOM PENH, 17 SEPT – Kemboja hari ini memulakan program imunisasi COVID-19 kepada golongan kanak-kanak seawal usia enam tahun meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum lagi meluluskan pemberian vaksin kepada golongan bawah 12 tahun.

Kementerian Kesihatan Kemboja mendapat pujian susulan kepantasan program vaksinasinya yang menyaksikan lebih 98 peratus populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, sekali gus berada di tangga kedua selepas Singapura dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara.

Program imunisasi kepada kanak-kanak itu dimulakan dengan pemberian vaksin kepada cucu Perdana Menterinya, Hun Sen dan wakil pihak kerajaan lain yang menerima suntikan Sinovac di hadapan pihak pemberita di Phnom Penh.

Hun Sen berkata, pelaksanaan program imunisasi kepada golongan kanak-kanak ini disifatkan penting.

“Adalah penting untuk kami melaksanakan usaha ini kerana kita mahu lebih ke depan,” katanya.

Cucu Hun Sen menerima suntikan vaksin COVID-19 Sinovac bagi kanak-kanak ketika negara itu memulakan program imunisasi ke atas kanak-kanak berusia 6 tahun. – AFP

Kemboja merancang memberikan dua suntikan vaksin keluaran China itu kepada kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun sebelum memperluaskannya kepada suntikan tambahan selepas ini.

Pemimpin itu didakwa mengetepikan aspek keselamatan vaksin kepada kanak-kanak itu berkata, Kemboja bertanggungjawab melindungi nyawa rakyatnya ketika pembukaan semula ekonomi dan sektor pendidikan.

Sinovac diluluskan penggunaannya kepada golongan dewasa di lebih 50 negara dengan China membenarkan penggunaan vaksin itu kepada kanak-kanak.

Namun, sehingga kini pakar kesihatan awam belum dapat mengenal pasti sama ada ia boleh digunakan ke atas kanak-kanak.

Sebelum ini, WHO menggesa semua negara supaya menangguhkan pemberian vaksin kepada golongan berusia di bawah 12 tahun.

“Ini kerana lebih banyak bukti diperlukan dalam penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak sebelum ia digalakkan kepada umum,” kata WHO. – AFP