Kemboja kurangkan tempoh kuarantin

PHNOM PENH, 17 OKT – Kerajaan Kemboja memutuskan untuk mengurangkan tempoh kuarantin bagi pelancong luar yang sudah mendapatkan vaksin lengkap selepas majoriti penduduknya sudah divaksinasi, menurut Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Pelabur asing, pakar teknikal, diplomat dan pengurus projek kerjasama dan koordinator, serta pegawai Kemboja yang kembali dari luar ne-gara akan diwajibkan untuk menjalani kuarantin selama tiga hari sahaja, sementara pelancong luar yang lain, sama ada warga Kemboja atau asing, akan diarah menjalani kuarantin selama seminggu, menurut kenyataan.

Walau bagaimanapun, pelancong yang tidak menerima sebarang vaksin COVID-19 atau belum lengkap divaksin, akan diwajibkan menjalani kuarantin penuh 14 hari, tambah kenyataan.

Selain itu, pelancong luar masih diwajibkan untuk menunjukkan sijil perubatan bagi ujian negatif COVID-19 dalam tempoh 72 jam sebelum tiba di Kemboja, dan mereka mesti membawa kad vaksinasi atau sijil yang menunjukkan mereka sudah mendapatkan vaksin lengkap berserta tarikh vaksinasi. Mereka juga menunjukkan bukti tempat mereka tinggal semasa tempoh kuarantin dan mesti mempunyai perlindungan COVID-19 yang dikeluarkan oleh Forte Insurance (Kemboja) Plc, dan menambah kesemua penumpang luar mesti menjalani ujian PCR semasa ketibaan.

Menurut kenyataan, kesemua visa mesti dipohon di kedutaan Kemboja di luar negara, disebabkan visa ketibaan tidak dikeluarkan.

“Peraturan kuarantin baharu akan mula berkuat kuasa 18 Oktober 2021,” menurut Menteri Kesihatan, Mam Bunheng dalam kenyataan. Chhay Sivlin, presiden Persatuan Ejen Pelancongan Kemboja, hari ini mengalu-alukan dasar kuarantin baharu, dan mengatakan ia adalah petanda baik bagi industri pelancongan, yang teruk terjejas oleh pandemik. – Xinhua